Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tiga pemimpin PAS dari kumpulan progresif yang tewas dalam pemilihan parti itu baru-baru ini, masih berteka-teki sama ada akan menerima pelantikan untuk menganggotai Jawatankuasa PAS pusat bagi sesi ini ataupun tidak.

Semalam bekas naib presiden Salahuddin Ayub dan bekas ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar sementara bekas AJK PAS Pusat Mohd Taufek Abdul Ghani diumum dilantik ke jawatan tersebut.

Setakat ini, ketiga-ketiga pemimpin PAS itu mahu menunggu surat pelantikan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Salahuddin menyifatkan keputusan menerima atau menolak pelantikan sebagai ahli jawatankuasa PAS pusat sebagai "perhitungan hidup mati karier" beliau dalam PAS.

Walaupun telah menerima surat tersebut, beliau yang lebih 30 tahun bergelumang dalam bidang politik menganggap ia satu episod baru dalam hidupnya untuk membuat keputusan penting selepas gagal mempertahankan jawatannya sebelum ini.

Sementara itu, Mahfuz yang juga MP Pokok Sena pula berkata setakat semalam, beliau belum menerima surat pelantikan itu dan akan menjawabnya selepas menerimanya kelak.

Mahfuz sebelum ini berkata, beliau berasa seronok selepas tidak memegang jawatan dalam kepimpinan tertinggi PAS kerana boleh memberi tumpuan kepada parlimen dan kawasannya.

Manakala Taufek yang pernah menjadi pesuruhjaya PAS Negeri Sembilam turut memberikan jawapan yang sama dengan Salahuddin dan Mahfuz, sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya tunggu surat lantikan dulu baru komen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan pelantikan meraka dan pihaknya masih belum ada sebarang penolakan daripada mereka yang dilantik.

Dalam muktamar lalu, kumpulan progresif dalam PAS tewas di tangan kumpulan proulama untuk menempatkan diri dalam jawatankuasa pusat PAS ketika semua rakannya kecundang.

Ekoran kekalahan itu, barisan kepimpinan yang tewas telah membuat satu majlis yang dinamakan himpunan 'Jasamu Dikenang'.

Antara lain bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu membayangkan beliau dan rakan-rakannya mungkin mahu mencari wadah baru termasuk menubuhkan parti politik baru.

Lihat Komen
ADS