Sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil tidak dipaksa melaksanakan konsep Sekolah Wawasan yang kini masih lagi di peringkat percubaan Kementerian Pendidikan.

Setiausaha Parlimen kementerian berkenaan, Datuk Mahadzir Md Khir mengulas bantahan beberapa pihak tertentu baru-baru ini berhubung pelaksanaan sekolah tersebut.

"Tidak ada paksaan kepada mana-mana pihak. Kita berharap (Sekolah Wawasan) diterima secara biasa," ujar Mahadzir kepada malaysiakini di luar Dewan Rakyat tengahari tadi.

Beliau menambah, bantahan itu dikemukakan kerana pihak berkenaan ingin mengetahui perkara itu dengan lebih mendalam.

Jumaat lepas pelajar-pelajar daripada tiga buah universiti tempatan menjalankan kempen tanda tangan dan menggesa rakan mereka bersatu bagi membantah usaha kerajaan tersebut.

Pelajar yang menggelarkan diri mereka 'Gagasan Anti-Sekolah Wawasan IPT Semenanjung' daripada Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia mengeluarkan kenyataan bersama bahawa rancangan kerajaan itu yang "mengabaikan pandangan pakar-pakar pendidikan perlu dibatalkan." [[#1]Siswa tiga IPT bantah Sekolah Wawasan[/#], 17 Nov]

Gabungan utama persatuan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong turut membantah projek tersebut kerana khuatir ia akan menghilangkan identiti sekolah-sekolah kaum itu. [[#2]Vision School: It's more than five[/#], Nov 14]

Menjawab dakwaan tersebut, Mahadzir berkata kementerian tidak berniat menutup sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan konsep wawasan "tidak mencairkan" identiti mereka.

Katanya konsep tersebut bertujuan memupuk integrasi antara kaum, sambil memberikan contoh sekolah jenis kebangsaan di Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor yang menjalankan projek tersebut tanpa sebarang masalah.

"Tiga buah sekolah di kawasan itu (berjaya melaksanakan) konsep wawasan melebihi yang kita (kementerian) sarankan," kata Mahadzir, menjelaskan pelaksanaan konsep itu yang menggabungkan aliran jenis kebangsaan Cina dan Tamil di kawasan dan bangunan yang sama.

Bagaimanapun beliau menegaskan konsep Sekolah Wawasan hanya melibatkan perkongsian sebuah padang tetapi setiap sekolah masih mengekalkan bangunan, pentadbiran dan kurikulum masing-masing.

Tambah beliau, kementerian juga telah mengenal pasti kompleks Sekolah Wawasan yang akan diwujudkan di setiap negeri dan penubuhan kompleks itu berdasarkan keperluan di setiap tempat.

Sementara itu dalam jawapan bertulis secara sepintas lalu kepada Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat), Kementerian Kewangan "maklum terdapatnya sedikit kelewatan" dalam urusan pembayaran geran-geran kepada kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu.

Dalam soalan lisan, Kamaruddin bertanya alasan kementerian itu tidak membuat pembayaran mengikut jadual kepada dua negeri yang ditadbir pembangkang itu.

Dalam jawaban satu perenggan itu, kementerian memberikan alasan kelewatan tersebut berpunca daripada keperluan untuk menyemak jumlah sebenar yang perlu dibayar.