Zahid diminta tidak ganggu The Edge
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi diminta tidak mengganggu The Edge dan juga berhenti mengancam untuk menarik permit akhbar itu kerana membuat liputan berkaitan firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad.
Presiden Bersama NGO CENBET Lim Chee Wee dan Gan Ping Sieu berkata akhbar itu harus dibenarkan untuk melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab, tanpa sebarang ancaman atau ugutan.
"Kami melihatnya dengan serius kenyataan menteri berkenaan kemungkinan pembatalan lesen penerbitan harian The Edge.
"Kenyataan boleh ditafsirkan sebagai satu percubaan terselindung untuk menyekat kebebasan akhbar dan dilaporkan adalah satu ugutan media," kata Lim dan Gan dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Zahid berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengambil tindakan terhadap mingguan perniagaan The Edge dan blog Sarawak Report.
Ia berikutan akhbar mingguan perniagaan dan blog itu memaparkan laporan berkaitan 1MDB yang diperolehi maklumatnya daripada bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andrea Justo.
Zahid berkata maklumat diperolehi Sarawak Report yang kemudiannya dilaporkan oleh The Edge itu merupakan maklumat yang tidak benar memandangkan fakta sebenar telah "diuli" .

