Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Restoran yang ingin menjalankan perniagaan 24 jam sehari boleh meneruskan waktu itu jika mahu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

"Berkenaan operator restoran 24 jam, kita akan kekalkan waktu operasinya.

"Justru sepatutnya tidak ada sebarang kebimbangan restoran tidak dibenarkan dibuka untuk orang ramai," katanya.

Najib mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ( gambar ) yang mahu mengehadkan waktu operasi restoran sehingga tengah malam di kawasan petempatan dan luar bandar.

Katanya, kenyataan dikemukakan Shahidan adalah cuma cadangan dan pandangan Ahli Parlimen Arau itu saja.

Menurut Najib, beliau banyak mendapat reaksi daripada pengusaha restoran 24 jam selepas cadangan mengehadkan waktu operasi dikemukakan.

"Kerajaan ada keputusan sendiri iaitu tidak mengubah apa yang sedia ada," katanya.

Ditanya mengapa kerajaan mengambil keputusan begitu, Najib berkata, peraturan yang diguna pakai ketika ini dilihat memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai.

Pada masa sama, katanya, peniaga juga berpeluang mendapat rezeki yang sepatutnya diterima mereka.

"Kalau kita menyekat waktu operasi restoran ini, ia akan menimbulkan lebih banyak kesulitan kepada orang ramai," katanya.

Lihat Komen
ADS