Import babi hidup ke Selangor dilulus sejak Julai 2025 dengan syarat ketat - timb menteri
Pengimportan ternakan babi hidup dari Sarawak ke Selangor telah diluluskan sejak Julai 2025 dengan syarat ketat, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.
Chan berkata pengaturan import itu bukan perkara baru, malah telah diumumkan dan dijelaskan kepada media serta di Parlimen sebelum isu berkenaan kembali menjadi pertikaian.
Dalam kenyataan hari ini, Chan berkata import itu dibenarkan melalui lesen yang diluluskan dan tertakluk kepada prosedur kawalan ketat, dengan ternakan berkenaan perlu dihantar terus ke pusat penyembelihan di Rawang tanpa singgah di lokasi lain.
“Keputusan ini merupakan antara langkah bagi membantu menstabilkan bekalan dan harga pasaran susulan gangguan terhadap industri penternakan akibat penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).
“Saya turut difahamkan bahawa satu prosedur operasi standard (SOP) yang ketat telah ditetapkan sejak awal bagi memastikan pengendalian ternakan di Pelabuhan Klang dilaksanakan secara terkawal dan teratur,” katanya.
Mengulas lanjut, ahli parlimen DAP itu berkata ternakan babi hidup hanya boleh dipunggah antara pukul 8 malam hingga 5 pagi menggunakan sangkar khas sebelum dipindahkan terus ke lori untuk dihantar ke pusat penyembelihan di Rawang.
Katanya, prosedur itu bertujuan meminimumkan tempoh pengendalian ternakan di pelabuhan serta mengurangkan risiko pencemaran dan gangguan terhadap persekitaran.
Dia berkata dakwaan bahawa operasi itu menjejaskan kebersihan dan sanitasi pelabuhan tidak seharusnya dibuat tanpa meneliti SOP yang ditetapkan serta bukti yang sahih.
Chan turut memaklumkan bahawa dia melawat sebuah ladang penternakan babi moden di Simunjan, Sarawak, pada April lalu bagi meninjau operasi dan prosedur pengeksportan ternakan hidup ke Singapura dan Selangor.
Katanya, lawatan itu membolehkannya melihat pelaksanaan langkah biosekuriti, termasuk penggunaan kapal pengangkut ternakan yang memenuhi spesifikasi ditetapkan.
“Saya amat kesal apabila dakwaan dan tuduhan dikemukakan tanpa penelitian terhadap fakta sebenar, malah ada cubaan untuk mengaitkan isu ini dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan dipolemikkan dengan maklumat yang tidak tepat,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang Abdul Rahman Kachil mendakwa kira-kira 800 ekor babi hidup dibawa masuk dari Kuching, Sarawak, setiap minggu sejak Julai lalu.
Menurut laporan itu, ternakan berkenaan tiba di Pelabuhan Klang menggunakan kapal sebelum dihantar ke sebuah premis yang dipercayai menjadi pusat penyembelihan.
Susulan itu, Pemuda PAS Selangor semalam menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera berhubung kemasukan ternakan berkenaan, dengan mempersoalkan sama ada operasi itu selaras dengan titah Sultan Selangor sebelum ini.
Timbalan ketuanya, Muhammad Faizzuddin Zai berkata Sultan Selangor telah menyatakan bahawa permintaan masyarakat bukan Islam terhadap daging babi perlu dipenuhi melalui import, bukannya aktiviti penternakan babi di negeri itu.
Dia juga turut membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan pencemaran alam sekitar, kebersihan awam dan kesan terhadap komuniti nelayan di sekitar Pelabuhan Klang.
Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi di negeri itu berikutan kebimbangan terhadap pencemaran udara, tanah dan sumber air yang boleh menjejaskan kesejahteraan penduduk.
Baginda turut mencadangkan supaya keperluan masyarakat bukan Islam, khususnya masyarakat Cina, dipenuhi melalui pengimportan daging babi.
Malah, Menteri Besar Amirudin Shari pada Febuari dilaporkan berkata kerajaan negeri menghentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan akan mempercepatkan penutupan ladang sedia ada, selaras dengan titah Sultan Selangor.
Dia turut berkata keperluan daging babi di Selangor akan dipenuhi sepenuhnya melalui import, manakala sebarang kelulusan lesen import akan dirujuk kepada kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, isu kemasukan ternakan hidup, berbeza daripada import daging babi, kembali menjadi perhatian selepas laporan mengenai penghantaran dari Sarawak melalui Pelabuhan Klang.
Pada 20 Oktober lalu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menyiasat kemasukan ternakan itu bagi mengenal pasti tujuan penghantaran dan pihak yang terbabit.
Menurut laporan media, Amirudin berkata sebahagian ternakan berkenaan dipercayai ditujukan ke negeri lain yang menggunakan Selangor sebagai pintu masuk.
Dia berkata kerajaan negeri akan menyemak perkara itu sebelum menentukan tindakan susulan.
Sementara itu, Chan berkata pengaturan import ternakan hidup berkenaan pernah dijelaskan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Stephen Rundi Utom, selain Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu serta bekas timbalan menteri Arthur Joseph Kurup melalui prosiding di Parlimen.
Chan menegaskan isu itu perlu dibincangkan berdasarkan fakta yang disahkan dan bukannya andaian atau maklumat tidak tepat.
“Sebarang dakwaan sedemikian hendaklah berasaskan fakta dan bukti yang sahih,” katanya.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.