1MDB: Projek masjid Kg Baru bukan baru
1MDB menjelaskan bahawa sumbangan RM20 juta untuk membaik pulih Masjid Jamek Kampung Baru bukanlah satu usaha yang baru dibuat.
Dalam kenyataan akhbar hari ini, syarikat itu berkata dana itu dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam satu lawatan pada 5 Februari 2011.
Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 2012 dan dijadualkan siap pada hujung bulan Julai 2015.
"Masjid ini akan menjadi pemangkin utama untuk pembangunan yang dirancang di Kampung Baru," kata 1MDB.
Syarikat itu berkata bahawa pembangunan semula masjid tersebut adalah salah satu daripada banyak aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang melibatkan rakyat Malaysia dari semua kaum dan agama.
Menurut 1MDB, ia kesal bahawa pelbagai pihak telah menggunakan projek pembangunan semula masjid itu untuk kepentingan agenda mereka sendiri.
Jumaat lepas, Najib telah mengeluh bahawa pengkritik 1MDB tidak mengambil kira sumbangan syarikat itu kepada masyarakat, khususnya umat Islam, dengan memetik sumbangan RM20 juta itu sebagai contoh.
Kenyataan itu bagaimanapun dikritik Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Mahfuz dilaporkan berkata, kenyataan Najib memberi maksud seolah-olah beliau mahu rakyat, khususnya umat Islam, memberikan kemaafan pada apa pun kesalahan yang di lakukan oleh 1MDB kerana agensi itu turut melakukan kebaikan.

