21 pekebun sayur ditahan dalam 'Ops Sejuk'
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 21 pekebun sayur kerana didakwa cuba rasuah anggota penguatkuasa di Cameron Highlands.
SPRM dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengadakan pemantauan di kawasan Cameron Highlands, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.
"Hasil pemantauan ini, SPRM mendapati aktiviti penerokaan kebun secara haram terus berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mereka, seorang daripadanya warganegara Bangladesh, ditahan dalam dua hari operasi, iaitu 19 orang ditahan semalam dan dua orang hari ini.
Enam belas daripadanya ditahan di premis masing-masing manakala lima lagi menyerah diri di Pejabat SPRM Perak di Meru dekat Ipoh termasuk dua orang pada pagi ini.
Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 68 tahun. Mereka dilepaskan masing-masing dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Daripada jumlah mereka yang ditahan itu, sembilan didakwa menjalankan aktiviti perlakuan rasuah di Ringlet, Kampung Raja (6), Tringkap (2) dan masing-masing seorang di Tanah Rata, Brinchang, Kuala Terlah dan dan Kampar.
Menurut kenyataan itu lagi, pemantauan mendapati terdapat beberapa pengusaha kebun yang cuba menyogok pihak penguat kuasa bagi melindungi kegiatan salah mereka dan mengelak tindakan diambil.
"Sogokan diberikan bagi mengelakkan tindakan atas pelbagai kesalahan, antaranya penerokaan tanah secara haram, melanggar syarat Lesen Pendudukan Sementara (LPS), melindungi
pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyimpan racun tidak berjadual.
"Operasi yang dinamakan sebagai "Ops Sejuk" ini telah dijalankan dengan kerjasama MKN sejak enam bulan yang lalu," katanya.
Melalui Ops Sejuk, tambahnya, SPRM telah membuat tangkapan serentak di beberapa kawasan di Cameron Highlands bermula semalam.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana memberi suapan kepada penguatkuasa.
Mohd Shukri berkata SPRM hanya menjalankan siasatan dari segi kesalahan rasuah manakala isu penerokaan haram dan PATI di bawah bidang kuasa agensi-agensi lain yang
berkaitan.

