Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Video Rosmah ala Cinderella jadi 'viral'
Diterbitkan:  Jul 3, 2015 5:24 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Sebuah video yang menunjukkan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor mendapat layanan istimewa yang dipakaikan kasut seperti dongeng Cinderella menjadi perhatian di media sosial.

Video berdurasi selama 31 saat yang dimuat naik di Facebook itu menunjukkan seorang wanita memakaikan kasut untuk isteri perdana menteri itu.

Di dalam video itu, Rosmah yang memakai baju kaftan berwarna merah dengan selendang warna sama tiba di pintu sambil membawa beg tangan berwarna putih.

Selepas itu, seorang wanita bertudung hitam menyarungkan kasut untuk Rosmah.

Rosmah juga dilihat berbual-bual dengan beberapa  wanita berdekatannya ketika wanita bertudung hitam itu menyarungkan kasutnya.

Selepas 10 saat, Rosmah kemudian menuju ke sebuah kereta buggy khas untuk isteri ahli parlimen Pekan itu.

Setakat laporan ini ditulis, video yang baru dimuat naik semalam itu telah dikongsi sebanyak 700 kali oleh pengguna Facebook.

Ia juga mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna Facebook. Ada pengguna yang terkejut dan melahirkan rasa simpati terhadap wanita bertudung hitam yang perlu menyarungkan kasut untuk Rosmah.

"Menyedihkan", kata seorang pengguna dengan nama Sulaiman MK. Manakala Mohd Harimau pula menulis: "Astaghfirullah".

Bagaimanapun, terdapat juga pihak yang membela Rosmah berhubung video tersebut.

"Jangan salah faham... (mungkin) dia tak boleh bongkok ke bawah," kata Nazri Mokhtar.

Video itu juga dipercayai dirakamkan semalam semasa majlis berbuka puasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama media di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Pada majlis berbuka puasa itu semalam, Najib mengakui bahawa beliau  tertekan dengan laporan media yang menghakis sokongan kepada BN.

Beliau membangkitkan laporan media mementingkan kecepatan dan bukan ketepatan, yang menurutnya boleh membentuk tanggapan negatif kepada kerajaan.

Pada hari ini pula, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta deposit ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun bank peribadi Najib.

Lihat Komen
ADS