Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Johor serah pada polis siasat
Diterbitkan:  Jul 7, 2015 5:41 AM
Dikemaskini: 9:45 PM

Badan Perhubungan Umno Johor menyerahkan kepada polis melakukan siasatan berhubung kekecohan di majlis dihadiri beberapa pemimpin DAP di Taman Megah Ria, di Johor Bahru kelmarin.

"Kita serahkan kepada polis. Biarlah mereka siasat perkara yang betul atau tidak," kata Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita di majlis berbuka puasa di Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) Johor di Johor Bahru semalam apabila diminta mengulas mengenai kekecohan itu.

Mohamed Khaled yang juga menteri besar Johor berkata kekecohan yang berlaku bukan diatur Umno, malah penganjur program itu juga sepatutnya menjangkakan insiden sedemikian boleh terjadi kerana telah dihebah di laman sosial yang pasti menarik ramai untuk datang.

Kelmarin, beberapa pemimpin DAP termasuk Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang menghadiri program forum Kedai Kopi DAP bersama masyarakat Sabah dan Sarawak di sebuah kedai makan di Taman Megah Ria, dihalau sekumpulan individu. 

  

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, kumpulan berkenaan yang didakwa penyokong Umno, mula menyerbu ke kedai tersebut ketika pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong membuat ucapan yang didakwa berbaur provokasi seolah-olah menghina Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS