Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kemelut Rohingya di Myanmar, yang menyaksikan pelbagai bentuk kekejaman dan penindasan termasuk penafian hak kewarganegaraan dihadapi masyarakat itu, bukanlah perkara baru, sebaliknya telah berlarutan sejak 1962 lagi.

Berikutan kemelut, yang sehingga kini belum nampak jalan penyelesaiannya, beberapa negara terutamanya negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan tidak terkecuali Malaysia, menjadi lokasi kebanjiran pendaratan pelarian etnik itu.

Di Malaysia sahaja, sehingga 31 Mei lepas, sejumlah 153,004 pelarian berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR), di mana 93 peratus daripadanya adalah dari Myanmar.

Selain Rohingya yang seramai 46,581 orang, pelarian lain dari Myanmar terdiri dari etnik Chin berjumlah 49,340, Muslim Myanmar (12,298), Arakanese (7,266), Mon (5,378), Kachin (4,476), Karen Kayin (4,508), Burmese (3,329), Shan/Thai Yai (1,510) dan lain-lain etnik (7,538).

Difahamkan juga, masih terdapat kira-kira 20,000 pelarian Rohingya di dalam negara ini yang masih belum didaftarkan.

Tidak dibenar bekerja

Baru-baru ini, persidangan Dewan Negara diberitahu bahawa kerajaan tidak bercadang untuk membenarkan pelarian Rohingya yang berdaftar dengan UNHCR, bekerja di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib berkata ini kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan manipulasi pelarian UNHCR dengan kemasukan lebih ramai golongan tersebut yang masih menunggu di sempadan.

Katanya tindakan majikan menggajikan mana-mana pelarian merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Walaupun tidak dibenarkan bekerja di negara ini kerana dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif, pelarian UNHCR termasuk Rohingya tetap diberikan bantuan sementara atas dasar kemanusiaan, katanya.

Persoalannya, meskipun tindakan kerajaan itu benar, bukankah itu hanya akan menjadi tambahan beban kepada negara sekiranya terus menghulurkan bantuan kerana mereka tidak punya punca pendapatan?

Bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan dan menyara keluarga mereka yang kemungkinan turut berada di dalam negara, sekiranya mereka ini tidak dibenarkan bekerja? Bukankah itu akan menyebabkan mereka menjadi peminta sedekah?

Harus pertimbang semula

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata dalam menentukan sama ada pelarian boleh bekerja atau tidak, ia perlu dinilai daripada sudut keperluan tenaga kerja dan dalam masa sama memastikan lambakan pendatang tidak menutup peluang rakyat tempatan.

Beliau berpendapat kerajaan seharusnya mempertimbangkan semula pendiriannya dengan memberikan peluang pekerjaan kepada pelarian Rohingya yang memegang pas UNCHR sah, atas dasar kemanusiaan.

Beliau berkata kerajaan boleh mengkhususkan hanya sektor pekerjaan tertentu sahaja seperti perladangan dan mengadakan tapisan yang ketat bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diambil bekerja.

"Mungkin kerajaan boleh memikirkan semula dengan memberikan peluang pekerjaan kepada pelarian yang sedia ada di dalam negara, namun di dalam konteks jumlah yang terkawal dan industri diperlukan sahaja.

"Dengan adanya pekerja Rohingya, ia boleh mengurangkan masalah kepada pengusaha yang memerlukan pekerja seperti dalam sektor perladangan, dan dalam masa sama membantu orang Rohingya ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata tindakan kerajaan membenarkan etnik ini untuk bekerja pasti akan dipuji dan dipandang tinggi terutamanya dalam konteks kemanusiaan, sekalipun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Geneva Mengenai Pelarian 1951 kerana tidak mahu negara ini menjadi negara transit pelarian.

Kawal kemasukan pendatang asing

Ahmad Martadha berkata sekiranya etnik Rohingya yang sedia ada diberi peluang bekerja, ia juga dapat mengurangkan pengambilan dan penambahan kemasukan buruh asing yang tidak terkawal.

Katanya apabila kerja-kerja kosong seperti di sektor perladangan diisi oleh orang Rohingya dan bukannya pekerja asing tanpa izin, secara tidak langsung ia membantu membangunkan negara, bukan merugikan negara.

"Apa yang penting sebenarnya, jangan terlalu tekankan ketakutan pendatang akan datang lebih ramai, tetapi bimbangkan kalau mereka datang secara tidak sah... jika pintu keselamatan negara dikawal lebih rapi, individu hanya akan datang secara sah.

"Kita tidak akan dapat elak menjadi tumpuan imigran... bukan sahaja Malaysia, negara seperti Turki, Sweden, Amerika Syarikat dan German, pelarian asing sanggup datang bekerja kerana negara-negara ini maju dan menawarkan peluang pekerjaan yang lumayan," katanya.

Justeru, Malaysia harus menetapkan tapisan dan syarat-syarat tertentu yang ketat bagi tujuan pengambilan pelarian sebagai pekerja.

Desak Myanmar henti keganasan

Mengapa tidak menghantar sahaja pelarian itu pulang ke negara asal? Mengapa Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tidak mendesak Myanmar untuk mengambil semula pelarian Rohingya, yang berasal dari wilayah mereka?

"Untuk menghantar pulang pelarian ini semula ke negara asal, Myanmar tentunya tidak akan menerima mereka dan dalam masa sama harapan untuk negara lain yang sanggup untuk menerima mereka juga adalah tipis.

"Peluang yang ada pun hantar pelarian Bangladesh yang menyamar sebagai etnik Rohingya pulang ke Bangladesh... itu sahaja," katanya.

Martadha berkata baginya, penyelesaian untuk mendesak Myanmar berbuat demikian sebenarnya bukanlah opsyen terbaik.

"Kita hanya boleh nasihat, kalau mereka tidak mahu ambil balik (pelarian Rohingya), itu kita tidak boleh kawal kerana kita tidak mengamalkan dasar campur tangan terhadap urusan dalaman mana-mana negara ASEAN," katanya.

Katanya adalah lebih penting untuk Malaysia mendesak kerajaan Myanmar menghentikan terus segala bentuk penindasan dan diskriminasi terhadap etnik Rohingya di negara itu, sekaligus mengiktiraf masyarakat itu sebagai warga negara mereka.

"Mereka ini bukan sahaja diusir tetapi berdepan dengan diskriminasi dan kekejaman di negara mereka... Malaysia punya peranan besar untuk mendesak Myanmar agar hentikan kemelut itu yang menimbulkan masalah kepada negara jiran lain.

"Kita tidak seharusnya dibebankan dengan masalah pelarian etnik Rohingya terutamanya apabila punca masalah bukan datang dari dalam negara," katanya.

Jangan benarkan

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan pula berpendapat belum tiba masanya untuk Malaysia membenarkan masyarakat Rohingya bekerja kerana negara masih berhadapan dengan lambakan pekerja asing.

"Dengan keadaan sekarang, kita tidak boleh benarkan mereka bekerja di dalam negara buat sementara kerana buat masa ini kita terlalu ramai pekerja asing sama ada yang sah atau tidak sah... jumlahnya lebih daripada yang diperlukan.

"Sekiranya kita membenarkan mereka (Rohingya) bekerja, pelarian daripada etnik dan negara lain juga akan menuntut perkara yang sama," katanya.

Katanya kerajaan boleh membenarkan pelarian bekerja sekiranya kerajaan dapat menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin yang bekerja di dalam negara dan mempunyai sistem kawalan yang berkesan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS