Politik wang: Lembaga Disiplin Umno mesti siasat
Lembaga Disiplin Umno diminta membuktikan bahawa ianya adalah sebuah 'badan bebas' dengan menyiasat perbuatan politik wang sewaktu pemilihan Umno baru-baru ini walaupun tidak ada pihak yang membuat laporan rasmi kepada lembaga tersebut.
Lembaga Disiplin Umno diminta membuktikan bahawa ianya adalah sebuah 'badan bebas' dengan menyiasat perbuatan politik wang sewaktu pemilihan Umno baru-baru ini walaupun tidak ada pihak yang membuat laporan rasmi kepada lembaga tersebut.
Ketika membuat gesaan tersebut, beberapa pemimpin Umno peringkat bahagian dan negeri, berkata lembaga tersebut yang dipengerusikan oleh Tengku Ahmad Rithauddeen tidak boleh lagi menutup mata terhadap perkara tersebut.
Sebaliknya, kata mereka, lembaga tersebut mesti mengambil inisiatif untuk menjalankan siasatan terhadap pelbagai dakwaan dan cakap-cakap mengenai politik wang, khususnya di kalangan para perwakilan sendiri.
"Walaupun tiada aduan rasmi, lembaga tersebut mesti melakukan siasatan bagi menentukan sama ada perkara itu benar-benar berlaku demi nama baik dan masa depan Umno itu sendiri," kata seorang pemimpin Umno negeri.
Katanya, beliau diberitahu bahawa lembaga tersebut tidak menanggap aduan-aduan yang dikemukakan tanpa butir-butir lengkap pengadu sebagai satu aduan rasmi.
"Jika begitu caranya lembaga tersebut bertindak... maka akan terlepaskan calon-calon, termasuk 'jerung-jerung' yang menabur wang sepanjang pemilihan parti," katanya.
Sudah pastinya, tidak ada yang berani ke depan untuk mengatakan mereka telah menerima ganjaran wangtunai kerana ia juga boleh menjejaskan kedudukan mereka dalam parti.
"Semasa pemilihan peringkat cawangan dan bahagian, jumlah wang yang ditaburkan tidak banyak... hanya sekadar RM50 hingga RM100 sahaja. Jadi memang ada penerimanya yang membuat aduan, dan menyerahkan wang itu kepada Lembaga Disiplin," katanya.
Gantung keahlian
Baru-baru ini, lembaga tersebut mengumumkan, selain mengenakan tindakan gantung keahlian atau memberi amaran kepada calon-calon yang didapati bersalah, ia juga telah mengumpulkan kira-kira RM20,000 yang diserahkan oleh pihak pengadu sebagai bukti berlakunya politik wang.
"Kali ini, kami difahamkan jumlah yang terbabit memang besar ... RM1,000 hingga RM1,500 ... ada pula yang telahpun membelanjakan wang tersebut... jadi bagaimana pengadu hendak membuktikan berlaku pembelian undi," katanya.
Sementara itu, seorang pemimpin Umno bahagian melahirkan rasa tidak puashatinya terhadap Lembaga Disiplin Umno yang menurutnya tidak telus dalam siasatan mereka.
Katanya, ini kerana lembaga tersebut tidak pernah mengumumkan secara terbuka kesalahan yang dilakukan oleh calon-calon yang didapati bersalah melanggar peraturan pemilihan parti.
"Setiapkali pengerusi lembaga itu, Tengku Ahmad Rithauddeen membuat pengumuman, beliau hanya mengatakan 'si polan' didapati bersalah melanggar peraturan pemilihan dan digantung ke ahlian selama tiga tahun.
"Pada masa yang sama, beliau juga mengumumkan ada calon-calon lain yang juga didapati bersalah, tetapi hanya dilepaskan dengan diberi amaran keras... pada kita nampak seperti ada ' double-standards '... ada yang salah dihukum gantung keahlian, ada pula yang hanya diberi amaran," katanya.
Oleh itu, katanya, sebaik-baiknya umumkan sekali bentuk kesalahan yang dilakukan supaya ahli-ahli faham darjah kesalahan yang dilakukan oleh calon-calon terbabit.

