PAS P Pinang: Guan Eng prejudis, provokatif
PAS Pulau Pinang menempelak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menyifatkan parti itu sebagai "musuh" ekoran tindakan mereka mengheret kerajaan negeri ke muka pengadilan berhubung isu pemecatan ahli majlis PAS.
Ketua Penerangan PAS negeri Mohd Yusni Mat Piah mempersoal kewajaran tuduhan Lim itu dianggapnya "amat tidak matang, prejudis, provokatif dan tidak profesional", sehingga layak melabel parti itu sebagai musuh.
"Amat malang sekali andai LGE (Lim Guan Eng) memilih untuk bermusuhan, sedangkan umum mengetahui bahawa pemecatan yang dibuat itu adalah suatu perkara keterlaluan.
"Bermakna, jika mengemukakan peradilan di mahkamah diertikan sebagai permusuhan, maka dengan sendirinya LGE telah menjustifikasikan tindakan pemecatannya itu sebagai satu kezaliman.
"Walhal, pemecatan yang dibuat kepada mereka tidak lebih kerana kegopohan LGE dalam menafsirkan usul yang berlegar sewaktu Muktamar Tahunan PAS Pusat kali Ke 61 baru-baru ini," katanya.
Mohd Yusni mengulas kenyataan Lim sebelum ini yang menyebut jika PAS mahu ambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri, maka parti itu sudah menjadi seperti pihak lawan sekalipun tindakan mereka dialu-alukannya dan beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menghakimi tindakan PAS itu.
Dilaporkan PAS Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri berhubung pemecatan wakil mereka dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) yang didakwa dilakukan tanpa mengikut prosedur.
Dalam kenyataannya, Mohd Yusni berkata Lim berkata Lim tidak perlu melatah dan tergopoh gapah bertindak terhadap mana-mana wakil PAS yang masih bekerja dalam pentadbiran negeri.
Ini kerana, katanya, Majlis Syura Ulamak PAS sebagai badan tertinggi parti belum memuktamadkan sebarang pendirian berhubung usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
"Maka adalah tidak adil LGE bertindak terburu-buru memecat mereka yang terbabit dan menuduh PAS sebagai musuh hanya kerana PAS tampil ke mahkamah menuntut keadilan yang sewajarnya.
"Sekiranya LGE betul dan benar dalam tindakan beliau, usah takut dan bimbang terhadap dakwaan yang dibuat. Sila tampil dengan membawa bukti kukuh bagi menegakkan keadilan terhadap pemecatan tersebut," katanya.
Pemimpin PAS itu turut mengingatkan Lim supaya tidak bongkak dan sombong dengan kemenangan DAP menguasai kerajaan negeri jika tidak kerana petugas khususnya ahli PAS yang bertungkus lumus bekerja menentang Umno dan BN.

