Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menasihatkan pengguna Internet tidak menyebarkan maklumat tidak benar dan berita tidak sahih mengenai siasatan ke atas 1MDB.

Satu kenyataan yang dikeluarkan SKMM hari ini menyebut, tindakan menyebarkan maklumat seperti itu boleh melanggar Seksyen 211 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhenti menyebarkan gambar yang telah diubahsuai, berita yang tidak sahih atau sebarang spekulasi mengenai siasatan ke atas 1MDB menerusi laman sosial termasuk aplikasi WhatsApp,” kenyataan itu dipetik.

Amaran itu muncul susulan laporan yang mendakwa tiga daripada enam akaun yang dibekukan dalam siasatan kes 1MDB merupakan akaun dimiliki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bagaimanapun semalam menyebut, tiada satu pun di antara enam akaun yang dibekukan itu dimiliki Najib.

Abdul Gani juga menyatakan kebimbangan bahawa dokumen mengenai siasatan oleh pasukan petugas khas itu dibocorkan.