Perkenal had waktu bekerja doktor
Saya terkesan dengan berita kematian seorang doktor perubatan di Hospital Sungai Buloh, Allahyarhamah Dr Afifah Mohd Ghazi, yang terlibat dengan kemalangan jalan raya Rabu lalu.
Kemalangan itu dikhuatiri berpunca daripada keadaan beliau yang terlampau kepenatan dan hilang kawalan ke atas kenderaan.
Saya berdoa agar roh beliau ditempatkan di kedudukan yang mulia di sisi Allah dan agar keluarga beliau dikurniakan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian ini.
Nyata tragedi ini akan terus menghantui masyarakat kita dan bakal menimbulkan perdebatan dan perbincangan terutamanya mengenai kebajikan dan tahap kecergasan para doktor perubatan terutamanya di dalam sektor awam.
Saya menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menimbangkan beberapa cadangan untuk membaiki sistem dan suasana kerja para doktor perubatan di hospital-hospital awam;
1) Pastikan penempatan doktor yang adil dan mengikut keperluan; proses penempatan para doktor di antara hospital dan jabatan haruslah berasaskan keperluan semasa dan sentiasa responsif terhadap sebarang perubahan.
Tanggungjawab ini terletak pada ketua jabatan untuk memastikan bukan hanya jumlah kuantiti yang ditangani, tetapi juga kecergasan dan tahap emosi doktor yang bertugas dipantau.
2) Perkenalkan Peraturan Had Waktu Bekerja; peraturan ini telah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Undang - Undang Buruh di beberapa negara maju dan telah disesuaikan kepada sektor kesihatan.
Kementerian Kesihatan wajar mengkaji keperluan memperkenalkan had waktu bekerja untuk para doktor iaitu purata 48 jam seminggu dalam tempoh 26 minggu dan dengan syarat tidak melebihi 72 jam dalam masa satu minggu.
3) Waktu rehat wajib untuk setiap syif - perkenalkan waktu rehat wajib sekurang - kurangnya 20 minit untuk setiap syif bagi para doktor.
4) Berikan pelepasan selepas tamat tugasan atas panggilan (on-call); kebanyakan doktor yang bertugas di atas panggilan wajar diberikan pelepasan terutamanya selepas tamat tugasan ini. Ini bagi memberi ruang yang secukupnya untuk doktor itu berehat.
5) Penyediaan ruang atau kompleks pegawai atas panggilan; hospital juga wajar menyediakan tempat, ruang atau bilik rehat yang selesa untuk para doktor yang bertugas atas panggilan. Kemudahan ini amat perlu bagi memberi peluang kepada para doktor ini untuk berehat.
Saranan ini diharap dipertimbangkan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan dalam masa sama membantu untuk membela kebajikan para doktor serta diharap akan mewujudkan suasana yang lebih kondusif untuk para doktor.
Saya juga yakin kualiti perkhidmatan mereka juga akan meningkat bilamana perubahan-perubahan seperti yang dicadangkan ini diperkenalkan.
DR AFIF BAHARDIN anggota exco Pulau Pinang dan timbalan ketua AMK.

