PAS menggesa semua pihak agar bertenang dan mengelak sebarang provokasi baru ekoran insiden di Bukit Bintang, Kuala Lumpur malam tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keamanan antara kaum mesti dipertahankan.

"PAS ingin merayu dan meminta semua pihak yang ada dalam negara ini, terutamanya di kawasan sekitar titik panas Bukit Bintang Kuala Lumpur, agar bertenang dan mengelakkan sebarang provokasi baru yang boleh menghangatkan suasana.

"Jangan kita cemari keharmonian pelbagai kaum yang ada dalam negara ini dengan insiden yang boleh melebarkan hubungan baik semua pihak yang sedia terjalin sejak zaman berzaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa orang termasuk dua wartawan cedera selepas satu perhimpunan sekitar 200 orang di luar Plaza Low Yat bertukar menjadi ganas malam tadi.

Beberapa tangkapan dibuat, dan polis menutup kawasan Bukit Bintang.

Insiden itu, dipercayai berpunca daripada dakwaan kes curi, telah membawa kepada pergaduhan di plaza itu pada hari Sabtu, dan video kejadian itu disebar luas di Internet.

 
Hadi meminta semua pihak agar menangani semua isu yang timbul, walau apapun puncanya, "dengan jiwa terbuka dan penuh dengan kesabaran terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini."

Sementara itu beberapa pemimpin pembangkang yang lain turut menggesa insiden itu tidak dijadikan sebagai isu perkauman.

PAS Parit Buntar MP Mujahid Yusof Rawa (gambar) mengingatkan bahawa insiden di Low Yat itu boleh "dimanipulasikan sebagai isu perkauman oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab", sedangkan ia adalah satu pertikaian penjual dengan pengguna.

 

"Saya juga meminta warga sosial media tidak menambah garam pada insiden ini dengan perasa kebencian antara kaum.

 

"Semua pihak yang melanggar undang-undang perlu diambil tindakan berasaskan peruntukan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pemuda DAP Bukit Bintang, Rui Wen turut mengecam percubaan untuk menjadi insiden itu sebagai isu perkauman.

"Kami mengutuk sebarang usaha ugutan perkauman melalui keganasan dan penyebaran maklumat yang salah.

"Kami juga mengutuk apa-apa percubaan untuk menggunakan isu bagi mengapikan sentimen perkauman .

"Rakyat Malaysia perlu lebih ma tang dan melihat isu lebih daripada perspektif perkauman," katanya dalam satu kenyataan, sambil menggesa semua pihak supaya bertenang.

"Kami menyeru semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan berfikiran rasional untuk menyertai kami bersama-sama dalam mengutuk perbuatan samseng ini dan menyerahkan kejadian ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan," tambahnya.

Sementara itu, beberapa warga siber - dalam usaha untuk meredakan ketegangan ekoran insiden di Low Yat itu - menggesa rakan-rakan menghantar gambar mereka dengan rakan-rakan pelbagai kaum.

Mereka digesa memasukkan hashtag #WeAreFamily dan #Muhibbah, dan tag lima rakannya untuk menyebarkan mesej keamanan itu.

[Baca berita penuh/asal]