Tweet palsu 'upahan Umno serang Low Yat'
Penyebaran maklumat palsu berkaitan pergaduhan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur terus beredar, kali ini giliran exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong pula menjadi mangsa.
Beliau mendakwa Twitter-nya yang sudah ditutup beberapa bulan lalu hari ini digunakan untuk menyebarkan maklumat menuduh Umno menjadi dalang kekacauan di pusat jualan barangan elektronik itu.
Tweet palsu itu atas namanya itu, katanya, berbunyi:
“Upahan Umno menyerang Low Yat untuk mencetuskan kekacauan bagi menutup isu 1MDB.
“Saya akan di Low Yat jam 12 tengah hari esok untuk menyokong peniaga yang jujur.”
Dalam kenyataannya hari ini, Wong berkata akan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Sesiapa yang ada maklumat tentang sumber penyebaran status palsu ini, sila beritahu saya supaya ianya boleh diberi kepada pihak berkuasa,” katanya.
Selain beliau, Facebook polis juga digodam hari ini yang membawa mesej kumpulan bersenjata Negara Islam yang berbunyi "khilafah has returned" (sistem khilafah sudah kembali).

