Mahathir tuduh Chandra 'diktator'
Program kumpulan lawak 'Senario' sudah cukup menggelikan hati walaupun nampak jelas kebudak-budakan tetapi kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, lebih menggelikan hati.
Awal minggu ini, sebaik sahaja pulang daripada berkhutbah tentang bahaya globalisasi di Mesir, beliau mendakwa pembangkang dan gerakan reformasi menggalakkan pelajar membakar sekolah.
Kali ini, dalam satu kenyataan sebagai mengulas persiapan urus setia Umno mengurus kemasukan ahli pembangkang kepada parti Melayu itu, Perdana Menteri mendakwa Timbalan Presiden Parti KeADILan Nasional Dr Chandra Muzaffar sebagai "diktator."
"Beliau (Chandra) menuduh orang lain (Mahathir) sebagai diktator, tetapi sebenarnya beliau sendiri seorang diktator," kata Mahathir seperti dilaporkan agensi berita Bernama semalam.
"Sekarang beliau (Chandra) pemimpin sebuah parti dan berpeluang menunjukkan kebolehannya (memimpin) tetapi sekarang jelas bahawa beliau cenderung ke arah kediktatoran."
Diktator atau dictator datang daripada perkataan dictate atau individu yang berkuasa dan suka mengarah-arahkan orang lain mengikut segala kemahuannya. Dalam siri gaya kepimpinan, sifat ini berada di satu hujung yang melampau - berbanding gaya kepimpinan yang bersifat berunding dan terbuka.
Dalam negara yang dikuasai iklim politik seperti itu, nyanyuk dan latah pemimpin diktator boleh diangkat menjadi dasar negara. Khayalannya dikira cita-cita bangsa, kononnya.
Lawak bodohnya disiarkan sebagai kenyataan bernas yang diletakkan di muka depan atau halaman kedua akhbar-akhbar!
Presiden Umno yang dilemparkan pelbagai gelaran itu - diktator, mahazalim dan mahafiraun - secara jelas merujuk perumpamaan bekas Naib Presiden KeADILan, Marina Yusoff, yang menyifatkan Chandra "10 kali ganda lebih buruk (sifat menguasai parti) berbanding Mahathir."
Marina berkata demikian dalam wawancaranya dengan sebuah agensi berita Associate Press awal minggu ini.
Akhbar-akhbar tempatan yang memetik sumber yang sama - untuk membelasah KeADILan - bagaimanapun tidak memasukkan perenggan kenyataan Marina menyamakan kepimpinan Chandra dengan kuasa kediktatoran Mahathir. Teks penuh itu disiarkan dalam akhbar di negara seberang Selat Tebrau, Straits Times .
Kepada penyokong pembangkang - sama ada mereka suka atau tidak pada Chandra - tentunya terhibur dengan lawak terkini Perdana Menteri ini.
Sepanjang krisis politik nasional selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyokong reformasi melihat gaya kepimpinan Presiden Umno itu sebagai "kuku besi" atau diktator.
Sebagai menjawab dakwaan itu, Mahathir sebanyak dua kali mengeluarkan kenyataan bahawa beliau merupakan "diktator yang dipilih (dalam pilihan raya umum)." Tujuannya untuk menyindir - seperti juga kata-katanya "sayalah Mahafiraun" - tetapi penyokong pembangkang menanggapinya sebagai pengesahan rasmi.
Tentunya ada persamaan antara Chandra dan Mahathir untuk melayakkan mereka saling gelar-menggelar dengan istilah itu. Kita boleh menganalisis dan berteori apa sahaja bagi menggariskan persamaan dua pemimpin ini. Analisis atau teori kita tentunya boleh didebatkan.
Tetapi wujud satu persamaan yang jelas dan tidak perlu didebatkan; kedua-duanya memiliki gelaran 'doktor' atau 'Dr' - jika tergeliat lidah bunyinya seakan-akan istilah buruk tersebut.
Kadang-kadang sukar ditafsirkan sebenarnya Dr itu maksudnya apa?


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.