Tiga lelaki mati, manakala dua lagi diselamatkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dipercayai terhidu gas beracun ketika bertugas di dalam kapal MV Hi Ram di Kota Tinggi, malam tadi.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata kesemua kru kapal itu, warga Vietnam, dipercayai terhidu gas beracun ketika bekerja di ruang tertutup kapal berkenaan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata panggilan kecemasan dari kapal kargo itu semasa berada di 4.1 batu nautika tenggara Tanjung Penyusup, diterima pada pukul 9.20 malam.

Sementara itu, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata terdapat 23 kru kapal warga Vietnam, berumur antara 32 dan 50 tahun, di kapal kargo itu.

"Mereka yang mati dikenali sebagai Pham Van Quy, 39 tahun; Nguyen Dinh Hung, 32; dan Nguyen Duy Thai, 50. Manakala dua yang cedera dikenali sebagai Luc Duc, 32 dan Nguyen Van Quang, 45," kata beliau ketika dihubung.

Kedua-dua mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Kota Tinggi dan dilaporkan stabil, kata beliau.

Khiu berkata kapal kargo yang membawa muatan termasuk kayu balak itu, dipercayai dalam perjalanan ke India dari Bintulu, Sarawak dan singgah di Pengerang untuk bunkering.

Beliau berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut.

- Bernama