PAS sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tidak akan menjalinkan kerjasama politik bersama Umno.

Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS akan terus istiqamah dengan dasarnya untuk menegakkan negara Islam, dan usaha untuk menjalin kerjasama dengan Umno tidak pernah wujud.

"Walaupun isu ini sudah berkali-kali ditegaskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini namun kita masih lagi mendengar perihal ini.

‎"PAS berkali-kali tidak akan bersama BN, kita wujud sebab untuk lawan BN dan Umno, sejak hari pertama hari lahir kita (sejak penubuhan PAS) lagi," Katanya kepada pemberita di sidang media bersama PAS di ibunegara semalam.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata berdasarkan keadaan semasa, mana mungkin PAS akan bersama BN.

‎"Dalam kemelut yang dihadapi sekarang, dengan isu rasuahnya, penyelewengan, mana mungkin kita akan bersama BN.

"PAS akan ‎terus istiqamah dengan dasar kita, di bawah naungan Islam sebagai rahmat untuk semua dan perlembagaan negara," Katanya.

Sejak kebelakangan ini, pelbagai pihak termasuk DAP menyifatkan tindak-tanduk Hadi seolah-olah mahu bekerjasama dengan Umno.

Sementara itu, Hadi yang sepatutnya hadir di majlis berbuka puasa anjuran parti itu terpaksa membatalkan hasratnya apabila terpaksa pulang ke Terengganu.