Low Yat: Pemuda mengaku tak salah
Seorang lelaki yang dituduh mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat yang mencetuskan kekacauan di kompleks membeli-belah popular itu pada malam Ahad, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Shahrul Anwar Abdul Aziz, 22, dituduh melakukan jenayah tersebut pada jam 4.47pm, bertarikh 11 Julai, di pusat membeli-belah yang menjual barangan elektronik dan komputer itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menetap jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan 14 Ogos untuk sebutan semula kes.
Timbalan pendakwaraya Suhaimi Ibrahim mencadangkan supaya jaminan ditetapkan sebanyak RM5,000.
Peguambela Shaarudin Ali meminta jaminan dikurangkan dengan alasan Shahrul Anwar tidak bekerja dan menjaga ibu bapanya yang mengalami masalah pendengaran.
Shahrul Anwar pada mulanya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan, mengejutkan peguam itu.
"Tertuduh mengaku bersalah cukup mengejutkan saya. Saya menasihati beliau sebaliknya," kata Shaharudin kepada mahkamah.
Kelihatan Shahrul Anwar tidak memahami sepenuhnya apa yang diminta dan menukar pengakuannya kepada tidak bersalah selepas majistret membacakan pertuduhan itu buat kali kedua.

