Husni: Laporan interim tunjuk 1MDB bersih
Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menggesa pengkritik 1MDB berhenti membuat dakwaan yang tidak berasas kerana laporan interim ketua audit negara mengenai audit syarikat itu mendapati tiada bukti salah laku.
"Oleh itu, tuduhan melulu oleh sesetengah pihak termasuk 'kehilangan' sebanyak RM42 bilion dan pemindahan AS$ 700 juta kepada individu tertentu tidak timbul," kata Husni dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan itu telah diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 9 Julai lalu tetapi ia masih belum didedahkan kepada umum.
Bagaimanapun Malaysiakini melaporkan bahawa pihak yang biasa dengan laporan itu menyatakan bahawa Jabatan Audit Negara telah mendapati bahawa lembaga pengarah 1MDB sering tidak dirujuk oleh pihak pengurusan sebelum keputusan dibuat berkaitan pelaburan.
Ini disokong dengan laporan dalam The Star, yang mendakwa dua ahli lembaga 1MDB - Mohd Bakke Salleh dan Azlan Mohd Zainol - telah berhenti sebagai tanda protes.

