'Sepatutnya elak rusuhan, tempatkan FRU'
NGO hak asasi Suaram kecewa dengan pasukan polis yang didakwa lambat bertindak sehingga menyebabkan pergaduhan di Low Yat Plaza, Bukit Bintang berlarutan dan merebak menjadi lebih serius, hujung minggu lalu.
Pengarah Suaram, Kua Kia Soong berkata, kejadian itu dapat dielakkan sekiranya polis menugaskan pasukan pencegah rusuhan seperti yang biasa ditempatkan semasa perhimpunan politik.
“Kehebatan pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang biasa dilihat semasa rapat umum kali ini tidak ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, polis sepatutnya sudah boleh menilai risiko apabila berlaku kejadian serangan 50 orang ke atas seorang lelaki seperti yang digambarkan, dan seterusnya perhimpunan satu kumpulan 200 orang di luar pusat membeli-belah tersebut yang melaungkan kata-kata kesat.
“Ini bukan kejadian biasa dan satu rusuhan serius mungkin berlaku. Polis sepatutnya mengenalpasti isu ini dan tindakan pantas sepatutnya diambil tanpa berlengah lagi.
“Melihat kepada pendekatan acuh tidak acuh dalam menangani kejadian Low Yat ini, nampaknya polis menjalankan tugas mereka secara terpilih dan hanya menguatkan lagi persepsi awam bahawa polis tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diharap,” katanya lagi.
Beliau juga bimbang dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menggesa agar pihak yang mengapi-apikan semangat perkauman dalam kes tersebut dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan.
Najib dalam kenyataan di Facebook semalam berkata media Internet tidak harus digunakan untuk menyebar atau mencetus kebencian kaum.
Tulisan tersebut kemudiannya telah dibuang daripada laman Facebook Ah Jib Gor tanpa penjelasan diberikan.
Ahad lalu, beberapa individu termasuk tiga wartawan akhbar Cina cedera diserang oleh perusuh di Low Yat Plaza ekoran pertikaian mengenai kes kecurian telefon.
Kejadian itu berlaku susulan pergaduhan yang tercetus pada hari Sabtu di plaza sama, didakwa akibat satu kes kecurian.

