Papagomo, Ali Tinju dan 4 peniaga Low Yat ditahan
Polis menangkap Wan Mohd Azri Wan Deris, yang mengendalikan blog "Papa Gomo", di bawah Akta Hasutan lewat malam tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan kepada Malaysiakini mengenai penangkapan penulis blog itu.
Wan Mohd Azri ditangkap berkaitan penyebaran berita palsu berkaitan pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat di Bukit Bintang pada hujung minggu.
Sebelum ini, polis menangkap Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom (gambar), juga di bawah Akta Hasutan.
Lebih dikenali sebagai 'Ali Tinju', Mohd Ali ditahan kerana didakwa membuat ucapan bersentimen perkauman di luar plaza itu pada malam Ahad.
Polis setakat ini telah menahan lebih 20 orang berhubung kejadian tersebut.
'Pemimpin bahagian' dicari
Sementara itu, dalam sidang akhbar pada awal pagi ini, Khalid juga memberitahu bahawa polis sedang mencari seorang pemimpin parti politik bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran mengenai pemimpin itu, yang beliau hanya sebut sebagai 'ketua bahagian'.
Khalid berkata polis juga akan membuat lebih banyak tangkapan melibatkan mereka yang menyalahgunakan media sosial untuk menghasut kebencian dan mencetuskan ketegangan kaum semasa insiden Low Yat.
"Kami akan menangkap mereka yang menyalahgunakan media sosial, termasuk 'ketua bahagian' sebuah parti politik di Pulau Pinang," katanya.
Dua hari reman
Sementara itu, peguam Ahmad Shuaib Ismail yang mewakili Wan Mohd Azri dan Mohd Ali, berkata mereka ditahan reman selama dua hari, hingga Khamis, di bawah Seksyen 4 (c) Akta Hasutan.
"Pegawai penyiasat memohon empat hari reman, tetapi majistret mengurangkannya kepada dua hari," katanya.
Ahmad Shuaib berkata Wan Mohd Azri dan Mohd Ali menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
"Ali Tinju menyerah diri pada pukul 2 petang, manakala Wan Azri menyerah diri pada pukul 9 malam," katanya.
Keempat-empat mereka ditahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Rusuhan) dan dijangka dibebaskan hari ini, kata peguam mereka Eric Choo.
"Mahkamah membenarkan satu hari reman yang bermakna mereka perlu dibebaskan hari ini.
"Polis sedang menyiasat perkara itu, seperti mengambil kenyataan daripada tahanan," kata ketua biro profesional Pemuda MCA itu.
Semalam, polis menjalankan operasi di Plaza Low Yat untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam pergaduhan itu, yang membawa kepada penangkapan empat orang peniaga.

