'Cubaan terdesak kaitkan PM dengan skandal Australia'
Kumpulan Fairfax Media dari Australia telah menerbitkan satu artikel dalam cubaan terdesaknya untuk mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan satu skandal rasuah, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Walaupun penuh dengan kata-kata sindiran dan fitnah, artikel yang tersiar dalam The Age dan The Sydney Morning Herald pada Selasa itu, tidak mengandungi satu pun tuduhan secara langsung terhadap Perdana Menteri.
Menyifatkan artikel itu "sengaja untuk mengelirukan, berniat jahat dan berbaur fitnah", Najib mengarahkan peguam beliau mengambil "segala tindakan yang mungkin" terhadap dua akhbar milik Fairfax Media itu.
Dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, PMO berkata Najib menolak sama sekali dakwaan jahat serta sindiran yang terkandung dalam artikel berkenaan, yang bertajuk " Bribery scandal linked to Malaysian Prime Minister Najib Razak " (Skandal rasuah dikaitkan dengan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak).
"Ini merupakan suatu cubaan terdesak untuk mengaitkan tugas yang beliau laksanakan ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri - yang melibatkan penyertaan beliau dalam begitu banyak misi perdagangan untuk mempromosi Malaysia di luar negara dan berjumpa dengan beribu-ribu orang - dengan dakwaan salah laku orang tengah yang mungkin pernah duduk sebilik dengan beliau pada sesuatu masa," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, artikel berkenaan tidak mengandungi sebarang tuduhan secara langsung terhadap Najib kerana sememangnya tidak terdapat tuduhan untuk dibuat.
"Tidak terdapat secarik bukti pun bahawa Perdana Menteri terlibat dengan kes berkenaan, yang telah diputuskan mahkamah dan individu terbabit pula telah disabitkan kesalahan serta dikenakan hukuman," kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi: "Tanpa mengemukakan bukti bagi mengaitkan Perdana Menteri dengan kes itu, artikel berkenaan banyak bergantung pada perkataan licik dan tidak konklusif - 'disyaki', 'didakwa', 'dikatakan' - untuk membuat pembaca terfikir bahawa Perdana Menteri bersalah kerana bersekongkol.
"Ia semata-mata suatu fitnah dan sindiran serta tipu daya yang digunakan untuk cuba mencemar nama baik Perdana Menteri ini dapat dilihat daripada hakikat bahawa rekod mahkamah Australia yang dipetik dalam artikel itu sendiri menyatakan 'tiada seorang pun orang yang dinamakan itu [termasuk Najib dan (bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad) Badawi] adalah orang yang didakwa oleh tertuduh telah berkomplot untuk melakukan rasuah."
PMO berkata artikel itu juga menyebut bahawa tidak seorang pun ahli politik luar negara dituduh atau didakwa secara rasmi berkomplot untuk menerima rasuah, manakala kes yang dikemukakan pihak pendakwa raya hanya terhad kepada tuduhan bahawa para pegawai bank pusat luar negara, bukan menteri, yang diberi rasuah antara tahun 1999 dan 2004.
"Kes ini telah mengambil masa yang panjang lama dan rasuah yang didakwa dibayar itu dibuat semasa pentadbiran Tun Abdullah dan Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.
Bagaimanapun, kata PMO, Fairfax Media memilih untuk tidak langsung menyebut nama Dr Mahathir dalam artikel itu.
"Pendirian itu diambil walaupun ia mengetahui bahawa perbuatan rasuah itu bukan dilakukan ketika pentadbiran Najib, tetapi ketika pentadbiran Tun Mahathir dan walaupun Tun Mahathir sendiri dinamakan dalam perintah penyelindungan berkaitan kes yang diperoleh kerajaan Australia itu.
"Sebaliknya, keseluruhan artikel itu, termasuk tajuk dan fotonya, memberi fokus terhadap Najib serta untuk memburuk-burukkan beliau," kata kenyataan itu.
Artikel Fairfax Media itu, yang disiarkan semalam, mendakwa Malaysia menyekat permohonan kerajaan Australia bagi mendapatkan maklumat tentang satu skandal rasuah.
Artikel itu mendakwa, Malaysia tidak mengendahkan satu permohonan bantuan dua hala rasmi daripada Jabatan Peguam Negara Komanwel supaya menyerahkan maklumat sensitif berhubung urusan kewangan sekumpulan orang tengah Malaysia yang terlibat dengan kes rasuah paling menggemparkan di Australia.
- Bernama

