Pak cik kantoi makan di kedai Cina
Kelekaan sekumpulan lelaki warga emas menikmati makanan sarapan pagi di sebuah kedai makan Cina, di Tunjang, Jitra Kedah, dikejutkan dengan kehadiran penguat kuasa Jabatan Agama Islam Daerah Kubang Pasu, dalam satu serbuan pagi ini.
Kesemua mereka dalam lingkungan usia 50 hingga 60-an itu, didapati beragama Islam tetapi sedang makan nasi dan merokok secara terbuka di kedai tersebut.
Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Radzi Abdul Mutalib berkata, sebaik anggotanya tiba di kedai berkenaan kesemua individu tersebut sedang khusyuk makan nasi dan merokok.
"Ketika sampai di kedai tersebut anggota kita lihat sebahagian mereka sedang menyuap makanan dan ada yang sedang merokok. Mereka tak perasan kehadiran anggota penguat kuasa sehinggalah kita perkenalkan diri untuk pemeriksaan.
"Mereka menunjukkan reaksi terkejut tetapi tak dapat melarikan diri," katanya kepada Malaysiakini.
Radzi berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka beragama Islam dan tindakan menahan mereka diambil mengikut Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.
"Serbuan dilakukan hari ini adalah hasil maklumat orang awam mengenai kegiatan individu yang tidak berpuasa dan makan di tempat awam. Sebelum ini kita juga melakukan pemeriksaan di kedai yang sama tetapi tiada sebarang penahanan dilakukan," katanya.
Tambah beliau, jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda sebanyak RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

