PAS Pusat dan PAS Selangor perlu membuat ketetapan bersama dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung status keanggotaan kumpulan progresif PAS yang mahu menubuhkan parti Islam baru.

Gesaan itu dibuat oleh anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad berhubung kenyataan PAS Selangor bahawa keanggotaan mereka gugur setelah mengisytiharkan Gerakan Harapan Baru (GBH).

Khalid berkata kenyataan PAS Selangor itu bercanggah dengan ketetapan PAS pusat malah mengelirukan banyak pihak.

“Buat mesyuarat, tulis surat kepada kami, beritahu apa yang pihak PAS nak sebenarnya. Kalau sekarang ini mereka kata tak perlu buat apa-apa kerana masih belum tubuh parti baru lagi, maknanya tak perlu buat apa-apa.

“Dan tak perlu semua orang keluarkan kenyataan yang akhirnya bercanggah antara satu sama lain. Buat malu saja. Buat mesyuarat dulu.

“Bulatkan keputusan dan keluarkan kenyataan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Isnin lalu, kumpulan yang kalah dalam pemilihan PAS bulan lepas mengumumkan penubuhan GHB untuk mengasaskan penubuhan satu parti politik Islam baru yang lebih terbuka.

Berikutan itu, PAS Selangor berkata pendukung usaha menubuhkan parti Islam baru jatuh keahlian secara automatik, menurut peruntukan dalam perlembagaan parti.

Ekoran dari itu, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, PAS negeri itu sudah menyiapkan pemangku bagi jawatan yang disandang kumpulan GHB.

Manakala kenyataan berbeza dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan yang berkata tindakan tidak boleh diambil sehingga parti baru itu didaftarkan secara rasmi bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sementara itu, anggota parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata Mohd Khairuddin tidak ada hak untuk bercakap soal gugur keahlian kerana akhirnya keputusan itu diputuskan oleh pemimpin PAS Pusat.

“Saya rasa untuk gugurkan keahlian. Bukan Khairuddin yang perlu bercakap dalam hal itu. Saya tengok pun pemimpin semua cakap lain-lain.

“Tapi kalau pemimpin PAS bagi pendapat yang berbeza-beza itu pendapat peribadi dia saja” kata peguam PAS itu.