Datuk Seri Najib Razak mungkin akhirnya akan mengeluarkan surat tuntutan terhadap The Wall Street Jorunal (WSJ) selepas media itu tidak memberikan penjelasan mengenai laporan kewangan mengaitkan perdana menteri dengan dana 1MDB.

Memetik peguam Wan Azmir Wan Majid, Berita Harian melaporkan tempoh 14 hari diberi Najib kepada WSJ berakhir semalam dan tiada sebarang reaksi diterima daripada media berkenaan.

"Jika kami tidak menerima sebarang jawapan hari ini, maka perdana menteri mempunyai beberapa pilihan undang-undang.

“Antaranya mengemukakan saman atau mengeluarkan surat tuntutan kepada WSJ,” katanya.

Wan Azmir dari firma guaman  Hafarizam Wan & Aisha Mubarak berkata, keengganan WSJ memberi maklum balas ataui penjelasan boleh dianggap sebagai pengakuan bersalah.

Beliau juga berkata, masih terlalu awal untuk mengetahui apa tindakan selanjutnya yang akan diambil Najib dan firma guaman itu masih menunggu arahan daripada perdana menteri.

Pada 8 Julai lalu Hafarizam Wan & Aisha Mubarak menghantar surat tuntutan kepada penerbit WSJ, Dow Jones, berhubung dua laporan mengenai "skandal di Malaysia".

Laporan itu masing-masing disiarkan pada 2 Julai dan 6 Julai, dan ditulis bersama oleh Simon Clark serta Tom Wright.

 

Antara lain laporan itu mendakwa hampir AS$700 juta wang 1MDB disalurkan ke akaun persendirian Najib.

[Baca berita asal]