Semua pam diesel di semua stesen minyak di bandar Bintulu akan kehabisan bekalan sebelum jam 1 petang sejak dua minggu lalu.

Ia dipercayai berpunca daripada tindakan sindiket-sindiket haram membeli diesel untuk dijual kepada pengusaha kem balak dan sektor perindustrian untuk mengaut keuntungan besar.

Sindiket-sindiket tersebut dipercayai mampu mengaut keuntungan bersih mencecah RM80 daripada setiap RM100 diesel yang dibeli pada harga pasaran semasa (84 sen seliter) dan dijual kepada pelanggan mereka pada harga industri sekitar RM1.40 seliter.

Berikutan itu, Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, Chiew Chin Sing menggesa kerajaan supaya mengkaji semula dasar dua harga yang terdedah kepada ekploitasi ini dan menyeragamkan harga diesel pada harga pasaran sedia ada.

Chiew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kidurong, terkilan kerana masalah itu tidak mendapat perhatian di sidang Dewan Rakyat walaupun ia merupakan satu isu nasional.

"Kerajaan tidak wajar memperkatakan mengenai jumlah subsidi RM70 juta sebulan, sebagai satu isu yang besar, ketika mana Petronas membayar lebih RM20 bilion cukai keuntungannya tahun lalu, serta royalti hampir RM3 billion, berikutan kenaikan harga minyak pasaran dunia," tegas Chiew.

Menyusahkan semua pihak

Beliau menegaskan kerajaan sepatutnya lebih arif bahawa penjualan diesel pada harga yang murah kepada sektor industri akan memakmurkan negara ini.

"Kita perlu menolong sektor perindustrian kita memandangkan kita sebuah negara pengeluar minyak," tegasnya sambil menggesa supaya isu itu dibahaskan di Dewan Rakyat sebelum ianya menular ke daerah-daerah lain di seluruh negara.

"Ia menyusahkan semua orang, terutama pengusaha lori, syarikat pengangkutan dan perkapalan. Mereka semua sewajarnya menikmati faedah subsidi yang sama kerana keuntungan mereka akan membawa pulangan kepada negara ini," tambah Chiew.

Dalam pada itu, Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak cawangan Bintulu hari ini menegaskan bahawa masalah di Bintulu agak rumit dan memakan masa untuk diselesaikan.

Menurut sumber-sumber, masalah di Bintulu diburukkan lagi oleh penggantungan bandar Miri dan Projek Bakun terhadap sumber diesel di Bintulu.

Kurang pengawasan

Ini telah mendorong KPDNHEP memperkenalkan sistem kuota sehinggalah syarikat petroleum terlibat, Shell dan Petronas bersedia untuk menambahkan jumlah bekalan bahan bakar tersebut.

Melalui sistem tersebut, pengusaha lori dibenarkan membeli dalam jumlah tertentu manakala penghuni rumah panjang diberikan surat kebenaran untuk membeli diesel dalam jumlah yang besar, sebagai stok pada harga pasaran.

Namun begitu, kelonggaran penyeliaan oleh pihak berkuasa telah membuka ruang kepada sindiket jenayah terancang yang membeli diesel menggunakan kenderaan yang telah diubahsuai.

"Lihatlah sendiri, siapa yang mengawasinya?" keluh seorang peniaga.

Jumlah diesel yang terhad itu akhirnya menyebabkan stesen-stesen minyak di Bintulu diserbu oleh pemilik kenderaan berat yang berebut-rebut untuk mendapatkannya sebelum kehabisan stok.


MUNSYI KASSIM adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.