S'wak Report tak boleh diakses di seluruh dunia
Laman web berita pemberi maklumat Sarawak Report, yang sering menyiarkan laporan kritikal terhadap 1MDB, tidak boleh diakses hari ini. Ia tidak boleh diakses termasuk kepada pengguna di luar Malaysia.
Bagaimanapun punca mengapa ia tidak boleh diakses masih tidak jelas. Ketika cubaan untuk mengakses laman web berita itu, ia hanya memaparkan tulisan "503- Service unavailable. The request could not be fulfilled."
Kod 503 bermaksud pelayan komunikasi bagi laman web Sarawak Report tergendala.
Perkara ini berlaku hanya selepas seminggu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan supaya pembekal perkhidmatan internet di negara ini menyekat akses terhadap Sarawak Report kerana didakwa antara lain kandungannya mengancaman terhadap kestabilan negara.
Sekatan SKMM itu tidak melibatkan pembekal perkhidmatan internet di luar Malaysia.
Semakan Malaysiakini hari ini mendapati, laman web berkenaan kini tidak boleh diakses bermula pagi ini termasuk dari luar negara.
Semakan Malaysiakini dengan pengguna di Kemboja, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat melaporkan ia tidak boleh diakses.
Dalam semakan terhadap satu lagi laman web 'Is it down right now?'- laman web untuk mengetahui sama ada sesebuah laman web tergendala- menunjukkan Sarawak Report tidak boleh diakeses oleh mana-mana pihak di seluruh dunia.
Akses ke laman web itu akhirnya pulih pada lewat petang ini.
Menurut laporan media, editor laman web itu Clare Rewcastle-Brown berkata beliau mengesyaki bahawa laman itu telah digodam.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.