Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salleh letak jawatan speaker DUN Sabah
Diterbitkan:  Jul 28, 2015 6:17 PM
Dikemaskini: 3:18 PM

Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak yang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru berkata beliau sudah meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkuat kuasa serta merta.

Katanya peletakan jawatan berkenaan adalah bagi membolehkannya melaksanakan tugasnya yang baharu sebagai anggota Jemaah Menteri Persekutuan berkuat kuasa esok seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

"Saya telah memaklumkan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah tentang keputusan ini kerana setelah dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri Persekutuan, sudah tentulah tidak dibenarkan memegang jawatan Speaker DUN," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian di kediamannya di Kota Kinabalu berhubung pengumuman rombakan Kabinet oleh perdana menteri hari ini.

Bagaimanapun, katanya beliau yakin tugas barunya sebagai menteri persekutuan tidak akan menjejaskan khidmat dan tanggungjawabnya sebagai ADUN Usukan.

Sementara itu, Salleh adalah seorang tokoh politik Sabah berpengalaman luas dan tegas dalam bidang pentadbiran.

Salleh, 58, berketurunan Bajau, merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan kini timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Sabah selain Presiden Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO).

Pertubuhan tersebut mewakili etnik (Bajau) kedua terbesar di Sabah dan merupakan badan bukan kerajaan (NGO) pertama yang dilapor mengumumkan hasrat untuk menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai anggota gabungan.

Mohd Salleh, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Politik dari Simon Fraser University, Kanada dan Doktor Flasafah (PhD) dalam bidang Politik dan Kerajaan Universiti Putra Malaysia (UPM) pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ketika berumur 37 tahun pada 1994 hingga 1996.

   

Berasal dari Kota Belud, Sabah, Mohd Salleh mula menjinakkan diri dalam dunia politik selepas menyertai Umno pada 1991 sehingga dilantik sebagai ketua Umno bahagian Kota Belud pada 1992 dan menjadi anggota Parlimen Kota Belud selama tiga penggal bermula 1995.   

   

Bapa kepada empat cahaya mata itu juga pernah memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah pada 2003 dan menjadi Penasihat Sains Kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada 2010, sebelum dilantik sebagai Speaker DUN Sabah yang kelapan pada 2011 dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada 2011 menggantikan Datuk Mohd Fuad Daud.

   

Penglibatan beliau dalam dunia politik telah mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (Kelas Kedua) (PGDK) yang membawa gelaran Datuk pada 1990, Darjah Gemilang Seri Melaka (Kelas Pertama) (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri (1996) dan Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima (1996).    

Mohd Salleh aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan golf dan badminton kini telah meletakkan jawatan sebagai Speaker DUN Sabah berkuat kuasa serta merta.

- Bernama

- Bernama

Lihat Komen
ADS