Pandangan sosialis PM bukan Melayu
Ucapan Perdana Menteri di perhimpunan agung MCA mengenai kaum bukan Melayu juga layak menjadi Perdana Menteri mencetuskan satu perdebatan hangat.
Parti Sosialis Malaysia bersetuju dengan pendirian Dr. Mahathir Mohamad kerana ia bererti sesiapa sahaja yang layak boleh menjadi Perdana Menteri tanpa mengira kumpulan etnik.
Sebenarnya pendirian Dr Mahathir selaras dengan apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan satu kenyataan yang melampau. Namun akibat sudah lama wujud anggapan bahawa Perdana Menteri mesti seorang Melayu dan sesiapa yang tidak berfikir sedemikian sering dianggap kurang pengetahuan.
Fahaman umum ini menebal dalam minda masyarakat Malaysia hingga ramai yang menganggap ada undang-undang diperuntukkan bahawa Perdana Menteri mesti berbangsa Melayu.
Dalam masyarakat Malaysia yang berkisar dan berselindung bawah isu kaum dan agama, kenyataan PM pastinya menimbulkan kontroversi. Namun Dr Mahathir berjaya menembak dua burung dengan satu peluru.
Di kalangan orang Cina, beliau berjaya mewujudkan keyakinan bahawa bukan Melayu setaraf dengan orang Melayu dan mempunyai peluang yang sama sehingga mereka boleh menjadi Perdana Menteri.
Bagi golongan Melayu pula, Dr Mahathir menimbulkan kerisauan bahawa jika mereka tidak bersatu-padu, maka orang Melayu akan hilang kerusi PM dan negara akan dipimpin oleh kumpulan etnik lain.
Kenyataan Perdana Menteri dan pemimpim-pemimpin Barisan Nasional jika ditinjau secara keseluruhannya berjaya memberi harapan di kalangan bukan Melayu dan pada masa yang sama mengugut orang Melayu agar tidak berpecah.
Presiden PAS Datuk Fadzil Noor mengutuk kenyataan PM ini dengan berkata bahawa ucapan Dr Mahathir hanyalah untuk membuatkan orang Cina gembira dan Umno kini telah membelakangkan isu ketuanan Melayu.
Kenyatan Fadzil mungkin benar apabila beliau berkata Dr Mahathir adalah oportunis kerana meluahkan ucapan di pentas orang Cina.
Namun, kenyataan Presiden PAS ini tidak boleh dibanggakan sangat kerana dalam nada yang sama, beliau pula menjadi oportunis untuk memancing sokongan Melayu.
Sebelum ini, PAS pernah berkata bahawa Perdana Menteri boleh datang daripada sebarang kaum tetapi mestilah seorang Islam. Justeru itu, pendirian Umno dan PAS nampaknya mempunyai lebih banyak persamaan daripada perbezaan. Kedua-duanya memperjuangkan politik sempit dengan memecahkan rakyat Malaysia berlandaskan kaum dan agama.
Apabila wujud persoalan kaum dan agama, nampaknya isu-isu lain seperti keadilan, hak sama rata, kelayakan dan kewibawaan menjadi kata-kata kosong dan boleh diketepikan begitu sahaja.
Slogan-slogan yang kononnya mendakwa bahwa parti-parti ini memperjuangkan satu masyarakat Malaysia yang majmuk hanyalah setakat omong-omong kosong.
Apabila wujud persoalan kerusi pilihan raya, peruntukan saham, biasiswa, atau subsidi perumahan, maka isu-isu kaum dan agama mendapat penghormatan yang jauh lebih tinggi daripada isu keadilan sosial dan hak asasi manusia.
PSM berpendirian tegas bahawa selagi isu etnik dan agama menguasai naluri masyarakat, maka segala keputusan dan pendirian tidak lagi berdasarkan keadilan dan tidak boleh menjadi rasional dan demokratik.
Semua perkara boleh dijustifikasi dan berselindung di bawah pendirian agama dan perkauman yang tebal.
PSM berpendapat langkah pertama untuk Malaysia menuju sebuah negara yang benar-benar majmuk, adil dan demokratik ialah semua dasar yang berteraskan perkauman dan agama mesti dimansuhkan.
Rakyat harus diberikan peluang membuat keputusan berdasarkan isu keadilan, dan hak asasi manusia secara rasional. Semua ini hanya boleh wujud apabila setiap orang menghormati hak orang lain dan menerima setiap orang lain sebagai manusia yang setaraf.
Satu daripada dasar sosialis yang amat bermakna ialah ia tidak membenarkan manusia dipecah-pecahkan berdasarkan kaum dan agama. Ketika fahaman fasis dan perkauman begitu menebal di Eropah suatu masa dahulu, hanya golongan sosialis yang berani mencabar dan membendung fahaman sempit ini.
Sosialis berpendirian bahawa kekayaan adalah milik bersama dan tidak akan membenarkan satu minoriti kecil mengawal kekayaan untuk kepentingan mereka. Dalam persoalan yang sama, golongan kapitalis sering menggunakan isu kaum dan agama untuk memecah-belahkan rakyat kerana isu ini amat senang untuk mempengaruhi rakyat.
Itulah sebabnya tempat ibadat seperti masjid, kuil dan gereja sering menjadi rebutan antara parti-parti politik sebagai medan propaganda masing-masing.
Di Malaysia, jika kita serius untuk mewujudkan perpaduan, maka langkah pertama yang harus pemerintah buat ialah membubarkan segala dasar yang memberikan kepentingan kepada sesuatu kaum ke atas kaum yang lain, misalnya hak keistimewaan untuk orang Melayu.
PSM berpendirian bahawa hak keistimewaan atau peluang harus diberikan berdasarkan keperluan seseorang dan bukan berdasarkan kaum dan agama. Dalam persoalan biasiswa, subsidi, peruntukan saham dan bantuan, hak keutamaan mesti diberikan kepada mereka yang layak, memerlukan dan miskin; bukan berdasarkan kuota etnik.
Pada masa yang sama, jika pemerintah sanggup membubarkan hak keistimewaan orang Melayu, kumpulan etnik lain juga harus menerima hakikat bahawa mereka adalah sama-sama rakyat Malaysia, dan bukan lagi warga yang perlu menuntut hak minoriti.
Jika kumpulan etnik majoriti sanggup berkorban, etnik minoriti juga perlu berbuat perkara yang sama untuk sama-sama berjuang ke arah persamaan hak tanpa diskriminasi.Hanya dengan cara itu sahaja, maka kita boleh membawa erti kepada perkataan keadilan dan demokrasi tulen.
Adalah tidak cukup jika Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin lain setakat berselindung di sebalik isu agama dan etnik untuk terus berkuasa atau mencari pengaruh.
Jika mereka benar-benar yakin kepada isu keadilan dan demokrasi, maka langkah pertama ialah untuk membasmi segala dasar berdasarkan kaum dan agama dan diganti oleh polisi yang lebih demokratik dan adil.
Pendirian sosialis dalam hal ini boleh diguna pakai tanpa sebarang hipokrasi.
PSM tanpa sebarang kontradiksi boleh mengkritik pemerintah Filipina atau Thailand, kerana pemerintah mereka cuba berkuasa dengan cara menindas dan mempunyai dasar diskriminasi terharap golongan minoriti Islam di Mindanao dan di selatan Thai.
PSM juga boleh mengutuk amalan diskriminasi kaum dan agama di Malaysia dengan nafas yang sama. Itu semua mungkin kerana PSM tidak terikat kepada kaum dan agama, hanya pendirian keadilan, persamaan hak dan demokrasis tulen semata-mata.
Bolehkah parti-parti lain berbuat demikian? Sudah pasti mereka mengutuk diskriminasi kaum dan agama di luar negara tetapi dalam negara, mereka hanya boleh membisu dan menari mengikut rentak sahaja.
S. ARUTCHELVAN, selain Penyelaras Suaram (Suara Rakyat Malaysia), merupakan Setiausaha Agung jawatankuasa penaja Parti Sosialis Malaysia (PSM). Pandangan ini bersifat peribadi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.