Ketua biro undang-undang PKR, Latheefa Koya berharap Tan Sri Abdul Gani Patail - yang telah ditamatkan perkhidmatannya sebagai peguam negara (AG) Isnin lalu - tampil untuk menjelaskan mengenai draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Katanya, ia bukan bagi AG baru untuk mengesahkan perkara itu kerana Abdul Gani yang terlibat dalam siasatan pasukan petugas khas terhadap dakwaan RM2.6 bilion didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.
Katanya, ini kerana Abdul Gani (gambar) yang bertanggungjawab bagi penyiasatan itu dan merupakan anggota penting dalam pasukan petugas 1MDB.
Apandi telah menafikan kertas pertuduhan itu berasal daripada Jabatan Peguam Negara dan berkata undang-undang akan dikuatkuasakan sepenuhnya terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.
Bagaimanapun, Latheefa berkata Apandi tidak seharusnya terburu-buru membuat kesimpulan seperti itu hanya kerana kemunculan draf kertas pertuduhan yang didakwa itu.
Latheefa juga bertanya di manakah bukti wujudnya konspirasi seumpama itu.
"Orang ramai mempunyai hak untuk menuntut jawapan mengenai 1MDB," katanya sambil menambah itu tidak bermakna terdapat konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri.
Demi kepentingan awam, katanya, adalah diharapkan Abdul Gani akan tampil untuk menjelaskan perkara ini.