Sebahagian isi surat bekas Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Marina Yusoff, langsung tidak mengejutkan. Kurang 24 jam selepas hari penamaan calon pilihan raya umum 20 November lalu, berita tentang hal itu senyap-senyap meresap keluar dari bilik gerakan parti itu di bangunan Marinara.

Tetapi surat Marina itu setakat 13 Januari sahaja. Banyak lagi peristiwa yang berlaku dalam KeADILan. Antaranya berkisar masa depan Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir. Beliau menjadi sasaran beberapa kumpulan yang tidak senang dengan pengurusannya.

Malah, Anuar juga dikatakan bukanlah mewakili kumpulan bekas aktivis Abim dalam parti itu tetapi beliau hanya memperalatkan pengaruh ke-Abim-annya untuk mengekalkan pengaruh sendiri.

Sebab itu, bekas orang kuat Abim itu sendiri, kata sumber, dilihat sebagai 'liabiliti' kepada beberapa kumpulan Abim dalam KeADILan. Malah, Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar sendiri dikhabarkan tidak senang pada Anuar, khususnya selepas kegagalan memeriahkan mesyuarat agung parti itu 15-18 Jun lalu.

Bagaimanapun, kumpulan Anuar tidak berdiam diri. Sebagai tindakan balas, mereka sendiri mula menggerakkan tenaga - dengan menunggang daripada struktur pengaruh Abim - di seluruh negara untuk memastikan Anuar kekal pada jawatannya sekarang.

Jentera yang paling perkasa, malah boleh dikatakan tulang belakang pengaruh KeADILan, itu sekarang bergerak di peringkat negeri-negeri untuk berkempen bagi melanjutkan kedudukan Anuar.

Ahli keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, turut terlibat dalam membantu Anuar dan kumpulannya. Sekarang, kempen anggota keluarga Anwar ini termasuklah mengumpulkan surat-surat penafian daripada beberapa tokoh tertentu dalam atau rapat dengan parti itu. Penafian apa? Penafian tidak terlibat dalam "konspirasi menjatuhkan Presiden KeADILan"!

Sungguh hairan, tanpa angin, pohon pula bergoyang! Tetapi beliau hanya mengutip nama-nama yang mahu diselamatkan oleh kumpulan yang diwakilinya.

Kutipan surat penafian itu akan disampaikan kepada Anwar. Selain konflik dalaman parti itu, anggota keluarga Anwar ini juga tidak mahu ketinggalan dalam arus persaingan mendapatkan pengaruh di 'istana' kekeluargaan Anwar pula.

Sementara itu, ada pula sumber menyebutkan bahawa ada usaha sistematik melemahkan pengaruh Anwar dalam KeADILan. Walaupun di sebalik tabir besi, Anwar sering kali memberikan arahan tertentu yang dilihat 'mengganggu' pihak-pihak tertentu dalam parti.

Paling jelas, idea Anwar untuk menggabungkan KeADILan dengan Parti Rakyat Malaysia. Bekas pemimpin negara itu juga menyokong demonstrasi dan tindakan laman web, selain mengasak keberanian KeADILan untuk menentang Mahathir.

Tidak ramai, termasuk Anuar dan Chandra, yang mendedahkan diri mereka sebagai membantah cadangan Anwar itu tetapi secara senyap-senyap usaha meminggirkan Anwar sedang berjalan.

Maka, timbullah idea jangan 'taksub' kepada Anwar. Berselindung di sebalik kempen antitaksub itu, walaupun Anwar mengemukakan idea yang bersifat reformis seumpama itu, tetapi ia juga wajar ditolak. Pengekalan Anuar dikatakan sebagai usaha mengenepikan idea Anwar.

Sebab itu PRM harus berhati-hati agar tidak menambahkan masalah yang semakin kompleks dalam rakan kongsinya itu.

Malang bagi Anwar, orang di kelilingnya selama ini yang menolong merebahkannya daripada takhta kuasa dan malang juga mereka tidaklah membantu melepaskan diri dari penjara.

Anwar sendiri sedar kumpulan mana dalam KeADILan yang tidak akan kekal lama jika beliau dibebaskan - sebab itu usaha meminggirkan Anwar berjalan sekarang.

Parti baru yang menggabungkan banyak kumpulan itu menghabiskan sebahagian besar tenaganya berkonflik dan kurang sekali mengasak musuh politiknya - Umno dan Mahathir. Selepas pilihan raya, KeADILan banyak sekali bergelumang dengan konflik dalaman sehingga tertanya-tanya apakah nasibnya akan mengulangi Parti Melayu Semangat 46?

Lagi banyak tumpuan ke dalam diberikan, lagi parah parti itu. Media massa reformasi sendiri tidak mampu menghalau bala yang sedang menelan parti itu.

Ke mana sebenarnya arah KeADILan?