Azizah bertemu Setiausaha Agung PBB
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Kofi Annan berbincang dengan Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr Wan Azizah Ismail dalam satu pertemuan tidak rasmi tanpa dijadualkan selepas pemimpin dunia itu menyampaikan ucapannya di Forum Demokrasi Sedunia di Warsaw semalam.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Kofi Annan berbincang dengan Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr Wan Azizah Ismail dalam satu pertemuan tidak rasmi tanpa dijadualkan selepas pemimpin dunia itu menyampaikan ucapannya di Forum Demokrasi Sedunia di Warsaw semalam.
Annan, yang mengejutkan peserta persidangan apabila beliau tampil menemui Azizah selepas kata penutup ucapannya, bercakap selama kira-kira 20 minit dengan pemimpin pembangkang itu sementara pegawai keselamatan Annan menjarakkan wartawan daripada mereka.
Apabila ditanya wartawan tentang isi perbincangan mereka, Annan berkata perbualan itu bersifat peribadi.
Azizah kemudiannya memberitahu wartawan bahawa Annan bertanya khabar suaminya, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara, sebagai mengkagumi keberanian dan semangat bekas pemimpin negara itu.
Annan bertanya keadaan Anwar dan bagaimana Azizah serta anak-anak mereka, menghadapi keadaan itu.
Tambah Azizah, Annan menasihatinya supaya tabah dan berkata bahawa Annan yakin tiba masanya mereka mendapat keadilan.
Annan berada di Warsaw untuk menghadiri persidangan peringkat menteri "Masyarakat Demokrasi" yang diadakan serentak dengan forum sedunia. Sidang kemuncak peringkat menteri itu, yang dihadiri oleh menteri luar dan pegawai kerajaan dari lebih 100 negara, bertujuan membincangkan keadaan demokrasi dunia dan ia akan berakhir dengan perjanjian Deklarasi Demokrasi Warsaw.
Forum selama tiga hari itu berakhir hari ini dengan persetujuan lebih 300 perwakilan yang terdiri daripada aktivis, cendekiawan dan ahli politik untuk memperakukan desakan yang dipercayai mempunyai kesan mendalam ke arah perikatan sejagat negara-negara demokrasi.
Dalam rayuan bertulis yang dibacakan kepada persidangan peringkat menteri, perwakilan forum sedunia itu merayu mereka supaya memperakukan dan menubuhkan kumpulan demokrasi di PBB.
Presiden Freedom House, satu daripada penganjur forum, berkata: "Selepas dialog antara kumpulan masyarakat madani dengan kerajaan terputus di mesyuarat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Seattle, dialog antara kerajaan dan kumpulan itu yang dilihat di Warsaw merupakan langkah yang menjanjikan ke arah membina dunia yang lebih demokratik."
Dalam ucapan beliau di forum tersebut, Annan berkata bahawa ada tempat untuk semua orang - pemimpin dunia, masyarakat niaga, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain - mengadakan dialog antara kerajaan dan masyarakat ke arah membina dunia yang lebih baik.
Wan Azizah juga bertemu secara tidak rasmi dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Madeleine Albright, selama 30 minit dalam majlis makan malam yang dianjurkan oleh Menteri Luar Poland Bronislaw Geremek untuk perwakilan bagi kedua-dua persidangan pada malam Isnin lalu.

