Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata ada pengadu mengenai amalan politik wang dalam pemilihan parti yang baru lalu, yang telah dibidas dan dihina sebagai pengkhianat kerana mendedahkan perkara itu.

Sambil melahirkan rasa dukacitanya terhadap perkara tersebut, bekas Ketua Melaka itu berkata sebaliknya, pengadu tersebut sepatutnya diberi penghargaan kerana berbuat demikian.

Katanya, mereka tidak sepatutnya dikutuk kerana berjaya mendedahkan amalan dan kesalahan politik wang dalam parti.

Menurut Bernama , Abdul Rahim memberitahu pemberita demikian di majlis kesyukuran meraikan kemenangan calon-calon Umno Melaka dalam pemilihan Umno bulan lalu.

Majlis tersebut dianjurkan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan di kawasan Kota Melaka.

Bukan senang

Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang memenangi jawatan Naib Presiden Umno, Hasnah Salam yang memenangi kerusi Exco Wanita Umno, Azlinda Zubir yang memenangi kerusi Exco Puteri Umno dan Abdul Rahim sendiri yang memenangi kerusi MT.

"Kita nak banteras politik wang ini bukan senang. Pucuk pimpinan mesti memberi penghargaan kepada pelapor yang telah mengambil risiko dalam mendedahkannya," katanya.

Isu politik wang menjadi perdebatan hebat sepanjang pemilihan pucuk pimpinan Umno di peringkat cawangan, bahagian dan pusat. Sehingga ini, lebih 22 ahli dan pemimpin bahagian dan cawangan dikenakan tindakan disiplin.

Bagaimanapun, perbuatan politik wang ini sampai ke kemuncaknya di peringkat akhir berlangsungnya kempen bagi merebut jawatan Naib Presiden dan MT Umno.

Walaupun pemilihan selesai diadakan pada 23 September lalu, dakwaan mengenai berlakunya politik wang itu masih berterusan hingga ke hari ini.

Mandat sepenuhnya

Malah, keputusannya yang dianggap mengejut, terutama kemenangan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Samad menduduki tempat teratas jawatan Naib Presiden, turut dikaitkan oleh sesetengah pihak dengan amalan politik wang.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata penghargaan itu boleh diberi dalam sebarang bentuk kerana yang penting ialah ia dapat mendorong seseorang itu melaporkan kesalahan politik wang.

Beliau juga tidak mahu mana-mana pihak mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin Umno sebagai tidak tepat atau tidak adil, dan menjadikannya sebagai isu politik.

"Ini kerana perdebatan dan polemik mengenai politik wang tak habis-habis diperkatakan," katanya.

Menurutnya dalam Umno, Lembaga Disiplin telah diberikan mandat sepenuhnya oleh Majlis Tertinggi, dan anggota jawatankuasanya terdiri daripada profesional yang mempunyai latar belakang sebagai peguam.