Anggota parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar memuji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas “jihad memerangi rasuah dan perasuah negara”.

Pujian itu dihamburkan ketika pegawainya terhimpit dakwaan liar terlibat konspirasi menjatuhkan kerajaan dan berdepan siasatan polis susulan kebocoran dokumen sulit yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB.

Mahfuz ( kiri ) hari ini berharap suruhanjaya itu supaya tidak berundur dalam menjalankan tanggungjawab itu dan jangan ada mana-mana pihak menjadi batu penghalangnya.

“Kenyataan SPRM untuk mendapat penjelasan dan keterangan lanjut daripada PM (Datuk Seri) Najib (Razak) atas isu wang RM2.67 bilion dalam akaun peribadinya adalah dialu- alukan,” katanya.

“Jangan ada sesiapa termasuk polis yang cuba menghalangnya.

“Rakyat menuntut PM Najib memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan ke atasnya.

"Jangan takut dengan kebenaran.”