Kes ekstradisi Clare dibawa ke mahkamah UK
Kes untuk mengekstradisi pengasas dan editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown ke Malaysia akan dibawa ke mahkamah United Kingdom, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.
"Ada proses yang perlu dilalui dan kita akan bentangkan fakta kes kita di mahkamah mereka," katanya di Bukit Aman hari ini.
"Bagaimanapun jika kes ditolak mahkamah, kita akan menghormati keputusan mereka," kata Noor Rashid (gambar)
Sebelum ini, polis telah memperoleh waran tangkap bagi Rewcastle Brown dari Mahkamah Kuala Lumpur.
Waran itu adalah untuk kesalahan di bawah Seksyen 124B dan 124I Kanun Keseksaan berkaitan dengan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.
Noor Rashid bercakap kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Nur Jazlan Mohamed, dan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Anak Kujat, membuat lawatan kerja di ibu pejabat polis itu.
- Bernama

