Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry berkata beliau membangkitkan isu berkaitan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbincangannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
 
Kerry, yang dalam lawatan dua hari ke Malaysia untuk menghadiri mesyuarat Asean, mengadakan perbincangan dua hala dengan Najib dan Anifah semalam.
 
"Saya membangkitkan kebimbangan tentang kebebasan bersuara dan saya bercakap kepada perdana menteri tentang keadaan Anwar Ibrahim (dalam perbincangan dua hala itu)," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
 
Pada 10 Februari, Anwar disabitkan kesalahan terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya dan kini menjalani hukuman penjara lima tahun di penjara Sungai Buloh.
 
Bagaimanapun, penyokong pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia telah mengkritik keputusan itu, dengan mendakwa prosiding itu bermotifkan politik.