Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak dengan kos petisyen pilihanraya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Remis yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) Wong Chong Sang.

Hakim Datuk Wan Adnan Muhamad, dalam penghakimannya lebih sejam, berkata keputusan pegawai pilihanraya dan budibicaranya adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.

Katanya, keputusan Pegawai Pilihanraya itu tidak bercanggah dengan mana-mana peraturan Akta Pilihanraya 1954, Peraturan-Peraturan Perjalanan Pilihanraya 1981 atau Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Menurut Bernama , Wong menfailkan petisyen pilihanraya terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis Nga Kor Ming ( kiri ), Pegawai Pilihanraya kerusi berkenaan dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Beliau memohon pembatalan keputusan pilihanraya bagi kerusi N37 Pantai Remis dan meminta mahkamah mengisytiharkannya sebagai menang tanpa bertanding atas alasan kertas pencalonan Nga tidak lengkap dan Nga membuat pindaan selepas pencalonan ditutup.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Nga yang juga Ketua Pemuda DAP, memperolehi 9,703 undi untuk menewaskan Wong dengan majoriti 2,303 undi.

Budibicara responden

Wong diwakili peguambela Teh Hock Ke dan Tan King Le. Nga pula diwakili Ngeh Koo Ham, Nga Hock Cheh, David Chai, Leong Cheok King dan Chan Kok Keong. Manakala Peguam Persekutuan Junaidah Abdul Rahman mewakili responden kedua dan ketiga.

Ini merupakan petisyen pilihanraya keempat dan terakhir yang ditolak di Perak. Sebelum ini, petisyen bagi kerusia parlimen Kuala Kangsar, DUN Rungkup dan DUN Pasir Bedamar telah ditolak mahkamah.

Wan Adnan berkata, pempetisyen gagal menunjukkan kepada mahkamah budibicara yang digunakan oleh Pegawai Pilihanraya untuk menolak bantahan Wong yang berlawanan dengan peraturan-peraturan pilihanraya.

Katanya, Pegawai Pilihanraya yang merupakan responden kedua, bertindak betul apabila menerima kertas pencalonan Nga, walaupun satu daripada tiga kertas itu tidak lengkap dan telah dipinda oleh Nga tanpa kebenarannya.

Menurut beliau, walaupun satu kertas tidak mengandungi perkataan N37 Pantai Remis kerana Nga hanya menulis "Perak" pada ruang kawasan pilihanraya, tetapi ia tidak menjejaskan pencalonannya.

Kod kawasan

Wan Adnan berkata, Pegawai Pilihanraya boleh mengenalpasti butir-butir lain dalam kertas pencalonan seperti nama pencadang dan penyokong dan dokumen lain seperti resit bayaran deposit untuk mengesahkan kawasan yang hendak ditandingi Nga.

Hakim berkata beliau berpendapat pencalonan Nga masih boleh diterima walaupun jika ketiga-tiga kertas pencalonan silap diisi dengan kod kawasan kerana ada butiran lain dan dokumen yang boleh menyokong pencalonannya.

Lagipun, katanya, pilihanraya telah diadakan dan Nga menang dan pempetisyen sendiri telah mengakui tidak ada sebarang masalah yang timbul semasa pilihanraya akibat kertas pencalonan yang tidak lengkap itu.

Wan Adnan berkata Wong juga tidak bercakap benar kerana memberitahu mahkamah beliau tidak kenal siapa lawannya akibat kertas pencalonan yang tidak lengkap itu.

Katanya, gambar-gambar yang menunjukkan Wong bersalam dengan Nga semasa hari pencalonan jelas menunjukkan kedua-dua mereka adalah calon bagi kerusi itu dan ejen-ejen pilihanraya pempetisyen sudah pasti telah melihat dua lagi kertas pencalonan yang dipamerkan di luar dewan.