PERKASA, CHPM sepakat tolak agama alat politik
PERKASA dan Kristian Untuk Keamanan dan Harmoni Malaysia (CPHM) hari ini sepakat menolak mana-mana pihak yang menggunakan agama sebagai agenda politik.
Menganggap ia sebagai "tidak beradab", amalan itu juga didakwa boleh menjejaskan keamanan serta keharmonian penduduk pelbagai bangsa di negara ini.
Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata salah faham yang timbul antara penduduk berbeza anutan adalah kerana ada pihak menjadikan agama sebagai agenda politik mereka.
"Oleh itu kami memberi amaran kepada mana-mana parti politik di negara ini agar tidak menyalahgunakan agama demi berkepentingan masing-masing,” katanya dalam sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum itu PERKASA dan CHPM mengadakan pertemuan tertutup untuk memperbetulkan tanggapan negatif terhadap pertubuhan bukan kerajaan itu.
Ibrahim berkata, perjumpaannya dengan pertubuhan Kristian itu juga diadakan untuk mengukuhkan perpaduan kaum dan agama di negara ini.
Menurut Ibrahim Ali, dialog bersama CPHM kali ini melibatkan kira-kira 24 barisan kepimpinan mewakili kedua-dua pihak itu komited untuk mempromosikan berapa langkah wajar untuk memelihara keharmonian kaum.
Sementara itu, Presiden CHPM, Wong Kim Kong berharap program bakal diadakan kelak mampu menyatukan masyarakat Melayu, Cina dan India.
"CPHM dan PERKASA bukan saja mahu berperanan sebagai jambatan untuk mengukuhkan hubungan itu dengan program bersama, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada rakyat menerusi program kemasyarakatan.
"Saya ingin mengulangi apa yangb ditegaskan Ibrahim bahawa soal agama tidak harus dijadikan agenda demi kepentingan politik.
"Kami sangat jelas dalam soal ini kerana mahu memastikan keamanaan dan keharmonian terus terjamin," katanya.

