Cara terbaik untuk menyelesaikan masalah politik wang dalam Umno ialah dengan menggunakan "formula politik", kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Oleh itu, beliau menyifatkan cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudeen supaya satu pasukan pendakwa diwujudkan bagi membantu usaha membanteras politik wang, sebagai tidak praktikal.

Menurut Bernama , dalam pemilihan Umno bulan lalu, Dr Mohd Khir, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, memenangi kerusi Majlis Tertinggi (MT) dengan memperolehi undi terbanyak.

"Saya lihat ini (masalah) parti politik dan seharusnya ia diselesaikan dengan cara politik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan satu kempen kebersihan peringkat negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Isnin lalu, Tengku Ahmad Rithaudeen dipetik sebagai berkata pasukan pendakwaan yang dicadangkannya itu boleh menyiasat dan menyiapkan laporan lengkap berasaskan aduan yang diterima agar lembaga dapat mengambil tindakan segera berdasarkan laporan itu.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa lembaga itu tidak bertindak proaktif dalam membanteras politik wang.

Walaupun pemilihan Umno sudah berakhir bulan lalu, tetapi dakwaan mengenai berlakunya politik wang dan pembelian undi masih terus menerus diperkatakan, termasuk di kalangan pemimpin Umno sendiri.

Anugerah sebagai ganjaran

Ini berikutan kemenangan mengejut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Samad yang memperolehi undi terbanyak bagi jawatan Naib Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hampir gagal mempertahankan jawatan tersebut.

Malah, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Penerangan Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang masing-masing tewas dalam pertandingan bagi jawatan Naib Presiden dan MT, dengan lantang memperkatakan tentang politik wang sepanjang kempen pemilihan parti.

Bagaimanapun, Adnan kemudiannya menyatakan beliau tidak akan membuat laporan rasmi mengenai dakwaan tersebut kerana tidak mahu menjejaskan kedudukan 'rakan-rakannya' yang sudah menang.

Abdul Kadir yang gagal mempertahankan jawatan MT, juga berkata beliau juga tidak akan berbuat demikian walaupun jika mempunyai bukti-bukti mengenai amalan politik wang sepanjang berlangsungnya pemilihan parti.

Malah, langkah kerajaan negeri Melaka menganugerahkan 84 gelaran Datuk, di mana sebahagian besar penerimanya adalah dari kalangan pemimpin Umno, juga dikaitkan dengan pemilihan Umno bulan lalu.

Berikutan itu timbul desas-desus yang mengatakan bahawa anugerah itu diberikan sebagai 'ganjaran' kepada sokongan mereka kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang menang jawatan Naib Presiden bulan lalu.