Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau hanya mahukan pak turut sebagai pengikutnya dan mendakwa Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor masih menggalas tugas Setiausaha Agung Umno walaupun mereka pernah berselisih pendapat.

"Saya bukan seorang presiden parti yang mahu semua pemimpin Umno menjadi yes men," katanya.

Perdana menteri berkata, sekiranya parti terdiri daripada yes man sahaja mereka tidak akan memperolehi pandangan berbeza.

"Tapi saya presiden yang mahukan parti kita yang berdisiplin, berpegang pada prinsip.

"Kita boleh tukar pendapat, bertengkar pun boleh dalam mesyuarat. Bertumbuk-tumbuk meja nak tegas boleh, asalkan tak baling kerusi," kata Najib ketika berucap di majlis Mesyuarat Umno Cheras, hari ini.

Bagaimanapun tegas beliau, sekiranya parti membuat keputusan, semua pihak mestilah mengambil tanggungjawab bersama.

"Saya bukanlah seorang yang begitu autokratik. Tanya Ku Nan (Tengku Adnan Tengku Mansor), dia kadang-kadang kata: Maaf tuan, saya tak setuju.

"Tapi dia masih kekal sebagai setiausaha agung," katanya.

[Baca berita asal]