Umno Kelantan sedang memerhati dengan penuh minat perkembangan terbaru dalam PAS negeri itu yang membabitkan kedudukan ahli Exco Kerajaan Negeri, Husam Musa yang dikatakan semakin goncang.

Menurut sumber-sumber Umno Kelantan, kedudukan Husam agak 'goncang' selepas Menteri Besar Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dimasukkan ke hospital baru-baru kerana serangan sakit jantung .

Berikutan itu, sumber-sumber itu meramalkan satu perubahan akan berlaku dalam barisan kepimpinan PAS Kelantan dan kerajaan negeri itu, dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Pada asasnya, Husam adalah bersendirian...tanpa sokongan Datuk Nik Aziz, kedudukannya agak sukar kerana tiada penyokong...," katanya kepada malaysiakini . Husam juga merupakan bekas setiausaha akhbar Nik Aziz

Lagi pula, kata sumber-sumber itu, daripada pemerhatian Umno negeri, Pemuda PAS juga kelihatan seperti tidak sehaluan dengan Husam dan keadaan ini juga menjadikan beliau sentiasa dalam keadaan tertekan.

Baru-baru ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris di Singapura melaporkan bahawa Husam telah menghantar surat perletakan jawatannya sebagai ahli Exco kerajaan negeri Kelantan.

Dapat perhatian

Difahamkan, Husam dipercayai bertindak demikian berhubung isu pemberian konsesi balak di negeri berkenaan yang membabitkan pemimpin PAS negeri.

Husam adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kijang yang dimenanginya dengan majoriti 2,882 undi dalam pilihanraya umum lalu. Beliau juga adalah ahli jawatankuasa PAS pusat.

Sebelum ini, Husam merupakan Ahli Parlimen Kubang Krian yang sentiasa mendapat perhatian di Dewan Rakyat kerana kesungguhannya mendedahkan salahlaku pemimpin Barisan Nasional (BN).

Ini termasuk isu pemberian lesen mini kasino kepada sebuah syarikat perjudian di Bukit Tinggi dan di Pulau Tioman.

"Isu Husam meletak jawatan heboh diperkatakan di Kelantan ... sampai Datuk Seri Nik Aziz terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu," tambahnya. Husam juga turut menafikan laporan tersebut.

Sumber-sumber itu berkata, walaupun Nik Aziz dan Husam sendiri telah menafikan perkara tersebut, tetapi ianya sudah menjadi rahsia umum mengenai wujudnya pergeseran antara Husam dan pemimpin lain PAS di peringkat negeri.

Bersikap terbuka

"Malah, ramai di kalangan ahli PAS di Kelantan yang berpendapat Husam mempunyai kualiti untuk menyandang jawatan Menteri Besar," katanya.

Menurutnya, isu Husam sebagai calon Menteri Besar Kelantan heboh diperkatakan apabila Nik Aziz diserang penyakit jantung dan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Kita tahu, kalangan pemimpin yang cerdik dalam PAS adalah Husam ... tetapi dalam PAS, soal cerdik tidak timbul, tetapi soal ulama ... Husam bukanlah dari latarbelakang ulama ...

"Kebetulan pula Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yakub, juga bukanlah seorang yang hebat ... jadi ada pihak yang berpendapat sukar bagi beliau memegang jawatan Menteri Besar.

"Kami meramalkan akan berlaku satu perkembangan menarik di Kelantan yang membabitkan Datuk Nik Aziz dan Husam dalam tempoh enam bulan akan datang," tambahnya.

Ditanya sama ada perkembangan tersebut juga ada kaitannya dengan dakwaan bahawa Husam terlalu rapat dengan pemimpin Umno negeri dan pusat, sumber-sumber itu berkata:

"Ini bukan soal beliau rapat dengan Umno, tetapi Husam adalah seorang yang berfikiran terbuka ... tidak seperti pemimpin-pemimpin PAS yang lain yang hidup secara ekslusif ... tidak mahu rapat dengan orang lain.

Musuh politik

"Jadi wujud dua puak pemimpin dalam PAS ... satu yang mahu melibatkan diri dengan mereka yang di luar parti itu, dan satu puak lagi yang melihat Umno sebagai musuh politik mereka ...," tambahnya.

Baru-baru ini Husam dilaporkan terbabit dalam " pakatan " dengan Umno berhubung petisyen pilihanraya yang dikemukakan oleh BN dan PAS di Kelantan.

Kerusi Parlimen terbabit ialah Pasir Puteh, Bachok dan Jeli. Manakala kerusi negeri ialah Chempaka, Kota Lama, Kadok, Kemuning, Air Lanas, Jelawat dan Mengkebang.

Dalam pilihanraya umum lalu, PAS hampir tumpas di Kelantan apabila hanya mampu memang mudah selepas hanya mampu mengekalkan 24 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). BN pula berjaya memenangi 21 DUN.

BN juga berjaya memenangi lapan daripada 14 kerusi Parlimen berbanding hanya dengan satu kerusi Parlimen Gua Musang yang dimenangi oleh Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihanraya 1999.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu dalam keputusannya berhubung petisyen tersebut telah memberi kemenangan kepada BN bagi kerusi Parlimen Pasir Putih. Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah memberi kemenangan kepada calon PAS.

Mahkamah yang sama juga menolak sembilan lagi petisyen pilihanraya yang dikemukakan oleh BN dan PAS yang mencabar keputusan bagi tujuh kerusi negeri dan dua kerusi Parlimen.

Berikutan itu, wujud desas-desus yang mendakwa wujud 'pakatan' antara pihak PAS dan Umno bagi menyelesaikan perkara tersebut bagi memastikan PAS terus memerintah negeri itu.