Walaupun ada penderma dari Timur Tengah memberi derma sebanyak RM2.6 bilion kepada Umno, mereka tidak boleh mempengaruhi Malaysia seperti dilakukan AS terhadap negara lain, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Sebaliknya, penderma yang disifatkan Nazri sebagai "negara mesra" itu hanya mahu melihat sesebuah parti yang dibantunya memenangi pilihan raya umum.

“Derma yang diberikan kepada kita (Umno) dari negara (Timur Tengah) kerana mereka negara yang mesra dan negara yang tidak kuat (bukan seperti) AS yang boleh mempengaruhi kita.

"Ia seperti saudara yang mahu melihat sesebuah parti memenangi pilihan raya umum.

"Tidak ada undang-undang berhubung sumbangan itu tapi mesti berhati-hati supaya tidak ada elemen rasuah," katanya selepas Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan di Muzium Negara hari ini.

Sokong wujud undang-undang

Pada 5 Ogos lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan dana dalam akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak yang dipertikaikan pelbagai pihak adalah sumbangan daripada pihak tertentu di Timur Tengah.

Ekoran kenyataan itu pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan mengkritik Najib.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan turut mempertahankan kemasukan wang derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib.

Katanya, kemasukan ke akaun perdana menteri lebih telus berbanding pemberian wang tunai kepada Najib.

Nazri dengan tegas turut menyifatkan Najib menjadi mangsa kepada pelbagai tuduhan dan 'double standard' pihak lain berhubung derma tersebut.

Menurutnya tuduhan yang dikemukakan kepada Najib tidak adil kerana ini pemberian derma tidak menyalahi undang-undang.

Beliau juga menyokong jika kerajaan mewujudkan undang-undang mewajibkan penderma parti politik supaya mendaftarkan identiti mereka.