Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri pertahan RM jatuh baik untuk pelancongan

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sekali lagi mengulangi kenyataan beliau bahawa kejatuhan nilai ringgit semasa kini adalah baik untuk industri pelancongan negara.

Malah, beliau yakin sasaran kehadiran 29.4 juta pelancong mampu dicapai tahun ini.

“Baguslah, harap lebih ramai pelancong luar datang ke Malaysia khususnya dari Singapura.

“Ini merupakan peluang untuk tarik pelancong datang ke Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar antarabangsa “Digital Preservation: Are we on the right track?” di ibu negara sebentar tadi.

Malah, Nazri berkata adalah lebih baik sekiranya rakyat Malaysia tidak keluar negara buat sementara ini.

“Saya kalau lagi ramai orang Malaysia tak keluar Malaysia lebih bagus sebab dia akan belanjakan duit dalam Malaysia,” katanya lagi.

Ringgit jatuh mencecah RM4 bagi sedolar AS hari ini, merosot serendah 4.0035 pada jam 9.35 pagi, menurut Bloomberg .

Ini adalah kejatuhan paling rendah ringgit sejak krisis kewangan Asia pada 1997.

Dalam tempoh 12 bulan terakhir, ringgit turun kira-kira 20 peratus, menjadikannya prestasinya paling buruk di Asia.

Kemerosotan itu antaranya berpunca daripada kejatuhan harga minyak mentah Brent yang mengurangkan hasil negara, selain perubahan kadar faedah rizab persekutuan Amerika Syarikat.

Daripada aspek politik pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini menjadi perhatian susulan kemasukan sumbangan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya selain kontroversi 1MDB yang melanda.

Lihat Komen
ADS