Perlantikan Pengurus Besar baru PKNS cetus kekecohan
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo didakwa cuba melanggar tradisi perlantikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) apabila beliau dipercayai mahu melantik orang luar untuk menerajui perbadanan tersebut.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo didakwa cuba melanggar tradisi perlantikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) apabila beliau dipercayai mahu melantik orang luar untuk menerajui perbadanan tersebut.
Tindakannya itu dipercayai telah mendapat bantahan para pegawai kanan perbadanan tersebut, dan mereka sedang berusaha untuk menemui Dr Mohd Khir, yang juga pengerusi PKNS, bagi merayu supaya beliau menimbang semula cadangan itu.
Menurut sumber-sumber yang mengetahui, jawatan Pengurus Besar PKNS kini kosong selepas persaraan Datuk Harun Salim berkuatkuasa 9 Oktober lalu.
Bagaimanapun, katanya, berikutan bantahan para pegawai kanan PKNS itu, sehingga hari ini perlantikan baru bagi mengisi kekosongan tersebut belum lagi dibuat.
Menurut tradisi yang diamalkan oleh para Menteri Besar Selangor sebelum ini, Timbalan Pengurus Besar PKNS akan dinaikkan pangkat untuk mengisi jawatan Pengurus Besar perbadanan itu bila berlaku kekosongan.
Jika mengikut tradisi tersebut, kekosongan itu sepatutnya diisi oleh Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pembangunan PKNS sekarang, Datuk Zainuddin Zainal Abidin yang telah berkhidmat di perbadanan tersebut sejak 1974.
Bagaimanapun, tradisi tersebut tidak diteruskan, tetapi sebaliknya Dr Mohd Khir dikatakan mahu membawa masuk 'orang luar' untuk mengisi jawatan tersebut.
Malah, tambah sumber-sumber itu, kini timbul desas-desus yang mengatakan Zainuddin juga akan dipindahkan daripada PKNS bagi mengelak adanya "dua nakhoda" di perbadanan tersebut.
Matlamat asal
Calon yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Pengurus Besar Baru ialah seorang tokoh korporat yang dikenali sebagai "Datuk Ibrahim".
Menurutnya, para pegawai kanan berkenaan membantah cadangan itu, kerana tidak mahu matlamat asal penubuhan PKNS untuk menaikkan taraf orang Melayu, khususnya di Selangor, akan terjejas sekiranya orang luar menerajuinya.
"Mereka yakin, hanya orang lama dalam PKNS sahaja yang dapat memastikan matlamat untuk membela orang Melayu, khususnya di Selangor," tambah sumber-sumber itu.
Kerana itulah, katanya, kesemua Menteri Besar Selangor sebelum ini, mematuhi tradisi untuk melantik Timbalan Pengurus Besar untuk mengisi kekosongan jawatan Pengurus Besar PKNS, bagi memastikan operasinya tidak tergelincir daripada matlamat asal penubuhannya.
Malaysiakini difahamkan, Zainuddin bersama seorang pemimpin kanan Umno Selangor telah pergi menemui Dr Mohd Khir tetapi Menteri Besar itu dikatakan enggan menemui mereka.
"Sehubungan itu, pegawai-pegawai kanan PKNS kini sedang berusaha untuk menemui Menteri Besar untuk merayu kepadanya memandangkan perlantikan baru itu belum lagi dibuat," tambah sumber-sumber.

