Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak adil tuduh BERSIH 4 untuk guling k'jaan'
Diterbitkan:  Aug 17, 2015 5:38 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menganggap Tan Sri Khalid Abu Bakar bersikap tidak adil kerana menuduh mereka berhasrat untuk menggulingkan kerajaan.

Sedangkan, ketua polis negara itu masih enggan bertemu untuk mendengar sendiri penjelasan mereka berhubung perhimpunan BERSIH 4, kata pengerusi BERSIH, Maria Chin.

"Maka tidak adil bagi IGP membuat pelbagai tuduhan sebelum pertemuan dan membincangkan dengan jawatankuasa pemandu BERSIH.

“Kami tiada apa-apa untuk disembunyikan. Hasrat dan tujuan kami bagi BERSIH 4 dilaporkan dengan meluas di media dan melalui kenyataan kami di Internet,” kata Maria.

Katanya, pasukan polis juga sepatutnya menumpukan usahanya kepada kes lebih penting.

Maria memberi contoh, isu melibatkan pendedahan pengarah komunikasi BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan semalam berhubung kes melibatkan perdana menteri.

Abdul Rahman semalam membangkitkan mengenai tindakan pencegahan Datuk Seri Najib Razak berhubung dokumen yang didakwa sebagai satu kertas pertuduhan ke atas perdana menteri.

"Ini adalah satu pengakuan yang amat penting dalam sisi siasatan ke atas skandal dana yang dipindahkan ke akaun peribadi perdana menteri,” kata Maria.

Beliau seterusnya mengingatkan Khalid bahawa perhimpunan BERSIH dijalankan dengan aman dan tidak bertujuan untuk mencetus kacau-bilau.

"Kekacauan hanya timbul bila pihak berkuasa cuba menyuraikan perhimpunan dengan kekasaran dan gas pemedih mata,” kata Maria.

Dalam kenyataannya, Maria turut menyeru anggota pasukan keselamatan dan penjawat awam menyertai perhimpunan besar pada 29 dan 30 Ogos itu demi “menyelamatkan negara”.

"Kami dengan rendah hati menggesa anda semua untuk mempertimbangkan apa yang berlaku (ke atas negara) dengan bijak dan membuat keputusan untuk menyertai rakyat Malaysia yang bersedia untuk ke hadapan bagi BERSIH 4.

Sementara itu, BERSIH dalam kenyataan berasingan mempersoalkan kenyataan Khalid bahawa perhimpuan itu akan mengganggu lalulintas dan kegiatan perniagaan di pusat bandar.

BERSIH menyifatkan kenyataan itu “lucu” kerana penutupan jalan untuk KL City Grand Pix pada awal bulan ini tidak pula menerima aduan daripada polis mahupun persatuan perniagaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mahupun warga kota.

Malah, penganjuran tiga perhimpunan BERSIH sebelum ini juga memberi keuntungan kepada hotel, peniaga makanan dan pengangkutan awam.

“Sekiranya sumber negara boleh dihabiskan untuk perlumbaan kereta selama tiga hari, kenapa perlu gusar dengan perhimpunan aman dua hari demi kepentingan jangka panjang negara?,” soal BERSIH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS