Gelaran digantung atau dilucut hanya selepas Jun 2004
Gelaran dan darjah kebesaran negeri akan digantung atau dilucutkan daripada penerima yang didapati bersalah oleh mahkamah selepas Jun 2004.
Gelaran dan darjah kebesaran negeri akan digantung atau dilucutkan daripada penerima yang didapati bersalah oleh mahkamah selepas Jun 2004.
Ketika menegaskan demikian, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia berdasarkan keputusan mesyuarat antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar dan Ketua Menteri baru-baru ini.
"Ini bermakna sesiapa sahaja penerima darjah kebesaran negeri ini yang didapati bersalah selepas Jun 2004, kita akan ambil tindakan. Sebelum itu tidak ada," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco negeri di Seremban hari ini.
Menurut Bernama , beliau bagaimanapun berkata, sebarang tindakan terhadap penerima yang didapati bersalah selepas Jun 2004 bergantung kepada perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
"Pihak kerajaan negeri akan membawa kepada pengetahuan Tuanku, dan Tuanku yang akan memutuskannya," katanya.
Mengenai tindakan Sultan Selangor menggantung gelaran Datuk enam penerima darjah kebesaran negeri itu kerana menghadapi tuduhan mahkamah, beliau berkata itu adalah keputusan baginda.
Kes mahkamah
Semalam, Sultan Selangor menitahkan supaya enam penerima gelaran dan darjah kebesaran Selangor digantung daripada menggunakannya sehingga mahkamah selesai membicarakan kes mereka.
Mereka yang terbabit ialah bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia Eng Hock, bekas exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Saidin Thamby dan bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Mohamed Saberi Salleh.
Tiga orang lagi ialah bekas Pengurus Besar Kanan Pelaburan Lembaga Tabung Haji Datuk Mohamad Shafie, bekas exco Selangor Datuk Mohamed Shariff Jajang dan ahli perniagaan Indonesia Datuk Chow C K. Kenneth atau A Wira Tjakrawinata.
Eric menerima Datuk Seri Indera Alam Diraja dengan gelaran Datuk Diraja pada 1985, Saidin dianugerah darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dengan gelaran Datuk pada 1985 dan Mohamed Saberi dikurniakan darjah kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) dengan gelaran Datuk pada 1999.
Mohamad pula dikurniakan DSSA pada 1999, Mohamed Sharif dianugerah DPMS pada 1991 dan Setia-Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSA) pada 1988 serta Chow menerima DPMS pada 1999.
Pada masa ini, Eric Chia sedang menghadapi tuduhan pecah amanah, Saidin (kes rasuah), Mohamed Saberi (tuduhan mengesahkan invois palsu), Mohamad (menipu), Mohamed Sharif (rasuah) dan Chow (memberi maklumat palsu kepada Suruhanjaya Sekuriti).
Ordinan Darurat
Sementara itu, Kerajaan Pahang hari ini mengesahkan telah menarik balik gelaran `Datuk Seri' dan 'Datuk' daripada dua lelaki baru-baru ini berhubung penglibatan mereka dengan jenayah.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata surat pemberitahuan mengenai perkara itu telah dihantar oleh pejabat Pengelola Bijaya Diraja sebaik sahaja kedua-dua lelaki itu dikenakan tindakan mahkamah.
Katanya, lelaki yang bergelar `Datuk' itu terlibat dalam beberapa kegiatan jenayah termasuk kongsi gelap dan sedang menjalani hukuman mengikut Ordinan Darurat di Simpang Renggam, Johor, manakala `Datuk Seri' itu pula sedang dibicarakan kerana satu kesalahan jenayah melibatkan seorang pelajar dari China.
"Kita memang sudah tarik balik dan itu adalah tindakan yang sewajarnya, tapi perkara ini tidak kita hebohkan. Kerajaan negeri Pahang memang begitu, ada perkara yang kita beritahu, dan ada perkara yang kita simpan," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri Pahang terhadap dua lelaki berkenaan. Akhbar hari ini melaporkan bahawa kerajaan Selangor telah menggantung gelaran Datuk enam penerima kerana sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah.
Adnan berkata perkara itu tidak dihebohkan kerana kerajaan negeri tidak mahu dianggap membuat `penghakiman awal' khususnya terhadap `Datuk Seri' berkenaan yang sedang dibicarakan.
"Kita bimbang akan mengganggu perjalanan kesnya. Kita perlu ingat, seseorang itu tidak bersalah sehingga ia dibuktikan," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.