Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu pembaharuan segera undang-undang universiti dengan mengambil kira perkara yang berkaitan hak asasi pelajar.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata ia termasuk pindaan kepada Seksyen 16 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang menghendaki semua universiti mengambil kira hak asasi pelajar sewaktu menggubal atau menguatkuasakan peraturan dalam universiti mereka.

"Lebih khusus, universiti perlu memastikan penguatkuasaan peraturan mereka tidak menyekat hak asasi pelajar, termasuk hak untuk maklumat, untuk membincangkan isu nasional dan antarabangsa.

"Dan juga untuk menyatakan pendapat mereka mengenai apa-apa isu dalam semangat sebenar demokrasi," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, semua institusi pendidikan mesti berusaha untuk memastikan bahawa kaedah dan peraturan mereka sewenang-wenangnya dan tidak seimbang dengan kebebasan bersuara pelajar.

"Pelajar berhak kepada hak-hak sivil, politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan yang sama seperti semua anggota masyarakat yang lain," katanya.

Hasmy juga berkata pihak yang berkepentingan perlu menekankan bahawa perbincangan yang sihat termasuk hal negara dan isu politik dalam dan luar, kampus.

Ini kerana, katanya, ia menyediakan ruang kepada pelajar untuk menyatakan pandangan, menerima, menyebarkan maklumat dan idea yang "memberi inspirasi kepada masyarakat yang lebih adil dan sedar sosial".  

[Baca berita asal]