BERITA

Peletakan jawatan beramai-ramai landa PAS S'gor

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Ogs 2015, 5:46 pagi

Kira-kira 400 ahli dan pemimpin PAS dari tiga kawasan PAS di Selangor hari ini mengumum meletak jawatan sama ada dalam parti atau jawatan yang mereka sandang, sementara menunggu untuk berpindah menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Ia termasuk 183 ahli dari kawasan Kota Raja, 227 ahli kawasan Kapar dan tiga orang dari kawasan Klang.

Naib Ketua PAS Kawasan Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah itu bagi mengelak berlaku keadaan tidak menentu melanda PAS sebaik sahaja GHB menjadi sebuah parti politik dan lebih ramai ahli PAS keluar dan menyertainya.

Di Kota Raja, ketua kawasannya Jaafar Samsuddin dan timbalan ketua, Norhalim Sirome dan Siti Mariah mengumumkan peletakan jawatan mereka dalam satu sidang akhbar.

Ketua sembilan cawangan PAS dalam kawasan Kota Raja juga turut melepaskan jawatan masing-masing dalam parti itu.

Turut menyertai mereka ialah ahli jawatankuasa (AJK) kawasan Kapar, Razak Abdul Rashid dan AJK PAS kawasan Klang, Abdul Rashih Abdul Latiff.

GHB berkata peletakan jawatan beramai-ramai hari ini itu adalah sebagai permulaan di Selangor - mulai hari ini sehingga akhir bulan ini.

Penyelaras GHB Selangor, Izham Hashim mendakwa kawasan Shah Alam dan Kelana Jaya akan melakukan perkara yang sama, masing-masing esok dan dua hari kemudiannya.

Bagaimanapun, mereka yang meletak jawatan itu akan kekal sebagai ahli parti sehingga GHB rasmi menjadi sebuah parti politik.

Mereka kemudiannya akan menyertai entiti baru itu, yang secara automatik, menyebabkan keahlian PAS mereka terbatal, kata Izham.

[Baca berita penuh/asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan